KANGAR: Perlis bakal mempunyai pusat beli-belah terbesar apabila Kangar Jaya Mall dijangka dibuka penghujung tahun ini yang dilengkapi pawagam, sekali gus mengembalikan semula kemudahan itu selepas hampir 25 tahun tiada.
Kali terakhir rakyat negeri ini berpeluang menonton wayang adalah di Panggung Kapitol sekitar tahun 2001 sebelum terpaksa ke negeri jiran bagi menikmati tayangan filem terbaharu.
Dengan pelaburan bernilai RM100 juta, kompleks moden setinggi tiga tingkat itu dibangunkan di lokasi strategik di Kangar, lengkap dengan 870 petak parkir bagi memberi keselesaan maksimum kepada pengunjung.
Pengurus C-Mart 3 Sdn. Bhd., Kim Lin Teng berkata, antara tarikan utama pusat beli-belah tersebut ialah Golden Screen Cinemas (GSC) yang menawarkan enam panggung dengan kapasiti keseluruhan 696 tempat duduk.
“Menariknya, ia turut menampilkan kemudahan PlayPlus yang pertama di utara Semenanjung Malaysia. Pada masa hadapan, GSC juga sedia menambah dua lagi panggung menjadikan lapan keseluruhan bagi memenuhi permintaan hiburan semakin meningkat,” katanya ketika mempersembahkan maklumat itu kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan meninjau status terkini projek tersebut di sini, baru-baru ini.
Turut berangkat, anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Kangar Jaya Mall bukan sekadar hab beli-belah baharu, malah bakal menjadi pusat gaya hidup menyeluruh dengan gabungan jenama ternama, kemudahan hiburan serta restoran.
“Selain memperkaya pengalaman komuniti setempat, ia juga dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.-UTUSAN.










