SEPANG: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengakui berdepan cabaran besar ketika membimbing beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sebelum pasangan itu muncul juara dunia di Paris.
Bekas juara dunia edisi 2005 dan 2007 bersama Liliyana Natsir itu berkata, sepanjang membimbing pasangan ranking keempat dunia tersebut, beliau berdepan pelbagai cabaran termasuk isu komunikasi dan sikap kedua-dua pemain terbabit.
“Sebagai jurulatih kita kena sabar, tetapi sebenarnya saya pun pernah marah juga, hampir setiap kejohanan ada saja masalah.
“Bagaimanapun, ini memang tugas kita untuk beri semangat dan bimbing mereka, mungkin itu juga yang membuatkan Tang Jie-Ee Wei rasa bersyukur kerana walaupun ada masalah, saya tetap beri sokongan,” kata Nova ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Tang Jie-Ee Wei menghadiahkan Malaysia detik penuh bermakna bersempena sambutan Hari Kebangsaan apabila menewaskan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 dalam masa hanya 40 minit pada aksi final di Paris, Ahad lalu.
Namun di sebalik kejayaan bergelar juara dunia, pasangan itu pernah melalui episod getir apabila mengumumkan perpisahan sementara pada April lalu susulan prestasi tidak menentu.
Keputusan untuk kembali bergandingan nyata membuahkan hasil apabila mereka berjaya memperbaiki komunikasi, membuang ego dan tampil lebih matang di pentas dunia.
“Ramai pasangan lain ada kemahiran, tetapi kalau komunikasi dan karakter tidak selari, mereka tidak boleh jadi juara.
“Di Paris mereka tunjukkan ketenangan, keyakinan dan komunikasi yang sangat baik, itu kunci sebenar kemenangan mereka,” katanya. – UTUSAN










