SEPANG: Dua beregu utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Pearly Tan-M. Thinaah bukan sahaja dijulang sebagai wira di Kejohanan Badminton Dunia, malah bakal menikmati habuan lebih lumayan susulan pencapaian bersejarah mereka.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan kedua-dua pasangan itu sudah menerima ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bernilai RM20,000 bagi emas dan RM10,000 bagi perak, masing-masing diagihkan sama rata kepada pemain.
Namun, itu hanya permulaan apabila Hannah mendedahkan mereka turut bakal menerima ‘habuan istimewa’ daripada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai penghargaan tambahan.
“Saya telah berbincang dengan Presiden BAM, Tengku Zafrul, dan kita nantikan insentif tambahan daripada beliau tidak lama lagi.
“Beliau akan membuat pengumuman dan ketika ini masih berada di China bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei bersama beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah diberikan sambutan wira selepas menghadiahkan pingat emas dan perak buat Malaysia pada Kejohanan Badminton Dunia, Ahad lalu.
Hannah menegaskan kejayaan itu membuktikan keberkesanan program Road to Gold (RTG) kerana dalam tempoh hanya empat bulan selepas kembali bergandingan, pasangan tersebut sudah mencipta sejarah buat negara.
Menurutnya, pelaburan besar kerajaan dalam RTG bukan satu pembaziran sebaliknya membuahkan hasil jelas untuk pembangunan sukan tanah air.
“Setiap atlet RTG menandatangani kontrak bagi memberikan komitmen penuh kepada negara kerana ini pelaburan negara, dan dalam tempoh singkat kita dapat lihat kemenangan ini.
“Kejayaan ini adalah satu pencapaian besar untuk RTG kerana dana yang dilaburkan memberi hasil segera kepada empat atlet badminton tersebut,” ujarnya.
Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wei muncul juara dunia pertama beregu campuran negara manakala Pearly-Thinaah muncul beregu wanita pertama meraih pingat di Kejohanan Dunia. – UTUSAN










