PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengalu-alukan MCA dan MIC menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai langkah bersama menyelamatkan negara.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PN sentiasa terbuka kepada semua parti politik yang mempunyai hasrat sama untuk memperjuangkan kepentingan rakyat dan mengembalikan kestabilan negara.
“Kita mengalu-alukan mana-mana juga parti-parti politik ataupun individu yang menerima idealisme dan juga perjuangan PN untuk memperbetulkan keadaan yang semakin rosak di dalam negara.
“Sudah tentulah dengan gabungan pengalaman dan ilmu yang ada di kalangan parti-parti khususnya MCA dan MIC yang dapat memperkukuhkan lagi tapak sokongan rakyat kepada PN ataupun gabungan PNl dengan parti-parti yang lain dalam kerjasama politik menjelang pilihan raya yang akan datang.
“Ini perkembangan yang positif dan kita mengalu-alukan semua pihak untuk melihat kepentingan negara dan rakyat itu diberikan keutamaan,” katanya dalam sidang media Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-8 2025 di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamed Azmin berkata, Bersatu akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 pada 6 dan 7 September ini di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, dengan tumpuan khusus terhadap persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, PAT kali ini menjadi platform penting untuk parti menyemak prestasi, memperkukuh latihan jentera di semua peringkat serta mempererat kerjasama strategik bersama rakan-rakan dalam PN. – UTUSAN











