Cklamovski panggil Hong Wan ganti Hevel

Cklamovski panggil Hong Wan ganti Hevel

Shio Hong Wan (kiri) dipanggil membarisi skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan menentang Singapura dan Palestin pada bulan ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Shio Hong Wan dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya bagi aksi persahabatan menentang Singapura dan Palestin.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata, Hong Wan dipanggil bagi menggantikan pemain warisan negara, Hector Hevel yang berdepan kecederaan kaki.

Cklamovski berkata, susulan kecederaan tersebut, pasukan perubatan skuad kebangsaan telah memutuskan agar Hevel mendapatkan rawatan pemulihan bersama kelabnya, JDT.

“Pemain tempatan telah melaporkan diri dan beberapa pemain Eropah juga akan sampai, Gabriel Palmero akan tiba esok (hari ini), manakala Rodrigo Holgado tiba pada Rabu (esok).

“Selepas Rabu, Harimau Malaya akan mempunyai skuad penuh untuk latihan, Hevel terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan kaki dan Hong Wan dipanggil untuk menggantikannya.

“Saya telah bercakap dengan Hong Wan dan dia bersemangat, bermotivasi. Saya juga tidak sabar untuk lihat prestasinya bersama pasukan,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.

Menurut Cklamovski, biarpun baru pulih daripada kecederaan, dia percaya Hong Wan mempunyai kualiti dan mentaliti yang kuat apabila dipanggil menyertai kem kebagsaan.

“Dia mempunyai bakat untuk menjadi pemain yang baik, jadi saya tidak sabar untuk dia menyambung sumbangan kepada pasukan kebangsaan. Saya percaya dia akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin,” katanya.

Cklamovski turut menambah, tempoh lapan hari kem latihan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan persefahaman serta prestasi pasukan sebelum menghadapi Laos dalam Kelayakan Piala Asia 2027 pada bulan depan.

Skuad negara dijadual menentang Singapura Khamis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum melengkapkan perlawanan persahabatan antarabangsa bulan ini dengan bertemu pasukan di ranking 98 dunia, Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×