PETALING JAYA: Sudah tiga dekad Malaysia belum berupaya mencari pengganti pelari jarak jauh negara, M. Ramachandran yang pernah menggegarkan pentas antarabangsa.
Ramachandran merupakan nama besar bagi acara 5,000 dan 10,000 meter (m) terbaik yang Malaysia pernah lahirkan kerana di samping sentiasa menghadiahkan pingat emas di Sukan SEA, beliau juga merupakan pemegang rekod kebangsaan dalam acara tersebut.
Dua rekod kebangsaannya yang masih bertahan lebih tiga dekad, 5,000m menerusi masa 14:06.82s dicipta di Troisdorf, Jerman 5 Ogos 1994 dan 10,000m dengan catatan 29:30.19s dilakukan di Sukan Komanwel Victoria, Kanada pada 27 Ogos 1994.
Mengulas lanjut, pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli tidak menafikan kemungkinan kurangnya pencarian bakat baharu menyebabkan Malaysia semakin jauh ketinggalan dalam acara tersebut berbanding negara serantau.
“Atlet kita kebanyakannya fokus pada jarak pendek tambahan pula sesetengah atlet tidak memiliki daya ketahanan yang jitu untuk beraksi dalam acara ini selain kurangnya minat kerana ia tidaklah begitu popular.
“Kena pelbagaikan lagi usaha dan jangan ambil mudah terhadap perkara ini sebab dua acara itu sentiasa dipertandingkan pada temasya besar.
“Sebab itu, sehingga kini rekod Ramachandran masih bertahan kerana kita tiada muka baharu yang mampu untuk memecahkannya (rekod),” katanya. – UTUSAN










