Bhumjaithai dakwa raih sokongan bentuk kerajaan baharu Thailand

Bhumjaithai dakwa raih sokongan bentuk kerajaan baharu Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Perlumbaan membentuk kerajaan baharu di Thailand semakin memuncak apabila parti-parti politik mula mencari sokongan daripada pihak lawan hanya beberapa jam selepas mahkamah menyingkirkan Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra, kerana melanggar etika.

Anutin Charnvirakul, bekas ahli perniagaan yang kini bergelar ahli politik, muncul sebagai calon utama perdana menteri selepas parti konservatif pimpinannya, Bhumjaithai, mencapai persetujuan dengan Parti Rakyat pembangkang, blok terbesar dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 500 kerusi.

Anutin menegaskan beliau bersedia mengambil alih jawatan perdana menteri dan mendakwa partinya memperoleh sokongan mencukupi daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Parti pimpinan Anutin, yang keluar daripada gabungan Paetongtarn pada Jun lallu, menyatakan ia akan membubarkan Parlimen dalam tempoh empat bulan sekiranya berjaya mengambil alih kuasa.

Bhumjaithai juga berjanji akan mengadakan referendum bagi meminda Perlembagaan serta mengambil langkah menyelesaikan pertikaian sempadan Thailand-Kemboja, syarat yang ditetapkan Parti Rakyat untuk memberi sokongan.

Parti itu berkata, ia akan membentuk sebuah kerajaan untuk mengurus negara dalam tempoh krisis keselamatan, ekonomi, alam sekitar dan sosial yang sedang menjejaskan kehidupan serta kualiti hidup rakyat.

“Matlamat utama adalah membimbing negara keluar daripada krisis dan kemudian memulangkan kuasa kepada rakyat melalui pilihan raya,” katanya.

Thailand sekali lagi bergolak apabila Mahkamah Perlembagaan menyingkirkan Paetongtarn kerana salah laku etika, menjadikannya pemimpin kedua digugurkan dalam tempoh lebih setahun ini.

Hakim menjelaskan, kenyataannya dalam panggilan telefon dengan pemimpin Kemboja, Hun Sen, berhubung pertikaian sempadan menjejaskan kepentingan negara dan maruah jawatan perdana menteri.

Seperti pendahulunya, Srettha Thavisin, Paetongtarn hanya bertahan kira-kira setahun di pejabat sebelum disingkirkan Mahkamah Perlembagaan.

Badan kehakiman yang ditubuhkan pada 1997 itu kini menyingkirkan lima Perdana Menteri Thailand yang mempunyai kaitan dengan bapanya, Thaksin Shinawatra.- BLOOMBERG

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×