Dua bandar Pakistan risiko tenggelam jika empangan sungai runtuh - Utusan Malaysia

Dua bandar Pakistan risiko tenggelam jika empangan sungai runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHORE: Dua bandar di timur Pakistan, Chiniot dan Hafizabad berdepan risiko banjir besar sekiranya sebuah empangan pengairan di hulu sungai runtuh selepas hujan lebat menyebabkan paras air melepasi kapasiti, menurut amaran pegawai pada Khamis.

India dan Pakistan, dua negara berjiran kini berdepan hujan monsun lebat yang mencetuskan banjir kilat, melimpahkan sungai dan memenuhi empangan. Bencana itu meragut 60 nyawa di Kashmir India bulan ini, manakala angka korban di Pakistan mencecah 805 orang sejak akhir Jun.

Sebarang banjir yang dikaitkan dengan India dijangka menambah ketegangan hubungan kedua-dua negara yang baru sahaja melalui konflik singkat pada Mei lalu, pertelagahan paling buruk dalam tempoh beberapa dekad.

Air Sungai Chenab di wilayah Punjab, Pakistan, kini menjadi ancaman untuk merobohkan empangan konkrit sepanjang 1,000 meter di Qadirabad yang berfungsi mengawal aliran air dan menyalurkannya ke dalam rangkaian pengairan.

“Ia adalah situasi krisis,” kata seorang pakar teknikal Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA), sambil memberi amaran bahawa keruntuhan empangan itu boleh menenggelamkan bandar yang menempatkan lebih 2.8 juta penduduk.

“Di bawah pemantauan berterusan pakar dan pentadbiran, paras air kini mulai surut, tetapi masih belum berada pada tahap selamat,” tambah pegawai itu yang enggan dikenali.

Ancaman ini muncul selepas India melepaskan air lebihan dari empangan mereka minggu ini, menyebabkan aliran sungai di wilayah Punjab Pakistan iaitu kawasan jelapang padi yang menempatkan separuh daripada 240 juta penduduk negara itu meningkat mendadak.

Pihak berkuasa Pakistan berkata lebih 210,000 penduduk kampung di sekitar Sungai Ravi, Sutlej dan Chenab yang mengalir dari India telah dipindahkan. Di Jammu, India, hujan lebat mengorbankan 60 nyawa bulan ini.

India lazimnya melepaskan air dari empangan apabila kapasiti penuh dicapai, dengan lebihan itu mengalir ke Pakistan. New Delhi menyifatkan langkah itu sebagai usaha kemanusiaan, disertai dengan amaran awal kepada Islamabad.

Pada Khamis, pegawai Pakistan memaklumkan India telah menghantar amaran banjir ketiga sejak Ahad lalu dengan kali ini membabitkan Sungai Sutlej, manakala dua amaran terdahulu berkaitan aliran air Sungai Ravi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×