KUALA LUMPUR: Malaysia menamatkan kempen perseorangan badminton Kejohanan Dunia di Paris apabila semua pemain negara menamatkan cabaran seawal pusingan pertama dan kedua.
Kegagalan semua wakil perseorangan memperlihatkan jurang kualiti permainan di peringkat dunia masih jauh, sekali gus dibimbangi berterusan menjelang kejohanan utama akan datang.
Kali terakhir Malaysia menaiki podium Kejohanan Dunia menerusi Liew Daren yang meraih gangsa pada 2018 di Nanjing, China dan legenda negara, Datuk Seri Lee Chong Wei kekal pemenang terbanyak tiga perak pada edisi 2011, 2013 dan 2014 manakala gangsa pada 2005
Lee Zii Jia yang membuat kemunculan semula selepas pulih daripada turut gagal memberikan cabaran apabila tunduk 17-21, 11-21 kepada pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin.
Ia prestasi terburuk Zii Jia dalam lima penampilan di pentas dunia sehingga mengundang persoalan sama ada kemunculannya tergesa-gesa walaupun menyasarkan kejohanan lebih lewat sebagai pentas kebangkitan.
Sandaran untuk melihat kejutan sulung daripada Leong Jun Hao juga tidak menjadi apabila dia terpaksa akur tewas 17-21, 21-13, 23-25 di tangan pemain Jepun, Kenta Nishimoto.
Malah, rentak kekalahan berterusan kepada pemain wanita muda, K. Letshanaa dan wakil profesional, Goh Jin Wei yang turut menerima nasib yang sama tersingkir di saingan awal. – UTUSAN











