Kubur Syamsul Haris dikawal ketat, bedah siasat ditentukan esok

Kubur Syamsul Haris dikawal ketat, bedah siasat ditentukan esok

POLIS mengawal ketat Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu di Semenyih hari ini selepas kubur Syamsul Haris diperintahkan oleh mahkamah untuk digali semula.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Bedah siasat ke atas mayat pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, 22, hanya akan ditentukan esok sebaik proses menggali kubur selesai.

Peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili ibu Allahyarham Syamsul Haris berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa proses pengalian semula akan dilakukan pukul 8 pagi esok.

Katanya, dia bersama ibu Allahyarham dan Pakar Forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh juga akan hadir sepanjang tempoh berkenaan.

“Kubur Allahyarham akan digali semula pukul 8 pagi esok sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, proses bedah siasat itu hanya ditentukan esok pagi memandangkan tindakan mengali semula kubur berkemungkinan akan mengambil masa kerana ia perlu dilakukan dengan penuh teliti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, polis mengawal ketat Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu di Semenyih hari ini selepas kubur Syamsul Haris diperintahkan oleh mahkamah untuk digali semula.

Tinjauan media di lokasi bermula pukul 5 petang mendapati sebuah bas milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan di luar tanah perkuburan terbabit dengan penugasan pegawai serta anggota.

Kawasan sekitar pusara Allahyarham Syamsul Haris juga telah dililit dengan pita kuning larangan masuk.

Turut kelihatan kerja-kerja pemasangan khemah dilakukan untuk pihak yang terlibat menyaksikan proses penggalian semula itu dilaksanakan.

Difahamkan, kawasan itu ditutup sepenuhnya daripada kemasukan mana-mana individu tanpa kebenaran bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. 

Utusan Malaysia difahamkan terdapat khemah yang didirikan di luar pagar tanah perkuburan bagi menempatkan petugas media membuat liputan. 

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memerintahkan kubur Syamsul Haris digali semula untuk dibedah siasat kali kedua oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Laporan bedah siasat kedua itu perlu disediakan dalam tempoh munasabah, dan satu salinan akan diserahkan kepada pihak peguam keluarga.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan kes berkenaan akan diambil alih sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 Bukit Aman berkuat kuasa serta-merta.

Pada 19 Ogos lalu, Ummu Haiman Bee mengemukakan permohonan itu antaranya bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.

Sebelum ini, media melaporkan, Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, 29 Julai lalu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×