KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan dan pengundian Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 yang menjadi kontroversi ditunda ke sesi Sidang Dewan Rakyat akan datang.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) memaklumkan perkara itu di platform Facebook bahawa RUU tersebut tidak akan dibahas dan diundi hari ini.
“URA (RUU PSB 2025) tidak dibahas dan tidak diundi hari ini. Satu lagi kemenangan kepada rakyat. Teruskan menentang,” katanya.
Perkara itu turut disahkan seorang pegawai kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kepada Utusan Malaysia.
“Ya, bacaan kedua akan diteruskan hari ini, perbahasan dan pengundian pada sidang Oktober depan,” katanya.
Sekiranya RUU PSB tidak dibaca kali kedua hari ini untuk proses kelulusan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu menunggu sehingga sidang seterusnya iaitu pada Oktober ini, memandangkan hari ini adalah hari terakhir Sidang Dewan Rakyat penggal ini.
RUU PSB yang dibawa Kor Ming mendapat tentangan hebat daripada kem pembangkang termasuk segelintir ahli Parlimen kerajaan khususnya daripada Barisan Nasional (BN).
Terbaharu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa RUU PSB perlu ditangguhkan kerana ia mendapat banyak pandangan dan menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak.
Katanya, ia perlu ditangguhkan bagi memberi ruang penglibatan secara tuntas diadakan dengan semua pihak.
“Saya bersama-sama bermesyuarat dan berjumpa dengan semua ahli Parlimen BN dan kami menyatakan kebimbangan serta mahu supaya RUU ini ditangguhkan dan dibuat engagement (penglibatan) dengan semua pihak.
“Kita tidak mahu ada pihak-pihak nanti apabila RUU ini diluluskan akan ada yang menjadi mangsa,” katanya. – UTUSAN










