PARLIMEN: Tiada undang-undang wajibkan kuota pekerja OKU

PARLIMEN: Tiada undang-undang wajibkan kuota pekerja OKU

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan majikan menetapkan kriteria atau jumlah pekerja yang perlu diambil bekerja termasuk dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) buat masa ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, meskipun begitu, kementerian komited memastikan kebajikan dan perlindungan semua pekerja terpelihara tanpa sebarang bentuk diskriminasi berdasarkan keupayaan, agama, bangsa atau faktor lain.

“Akta Kerja 1955 (Akta 265) terpakai kepada semua pekerja sektor swasta dan menetapkan layanan yang saksama kepada semua pekerja tanpa penetapan khusus mengenai kriteria atau bilangan pekerja yang perlu diambil bekerja.

“Sekiranya majikan menggaji pekerja OKU, mereka turut dilindungi di bawah Akta ini yang memperuntukkan faedah minimum kepada setiap pekerja di bawah kontrak perkhidmatan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Isaiah D. Jacob mengenai sama ada kementerian telah memasukkan polisi satu peratus pekerja OKU dalam Akta Kerja 1955 dan jika belum, bila ia akan dimasukkan.

Menurut beliau, Akta Kerja 1955 telah diperkukuh dengan peruntukan larangan diskriminasi dalam pekerjaan termasuk diskriminasi terhadap pekerja OKU, di samping meliputi aspek kebajikan seperti pembayaran gaji, cuti tahunan, cuti sakit, waktu bekerja dan lain-lain.

Mengulas cadangan supaya polisi pengambilan satu peratus pekerja OKU dimasukkan ke dalam Akta Kerja 1955, beliau berkata, perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh kerana objektif utama Akta berkenaan adalah melindungi hak dan kebajikan pekerja yang telah diambil bekerja.

“Oleh itu, Kementerian Sumber Manusia berpandangan cadangan untuk mewujudkan peruntukan baharu dengan menyasarkan satu peratus pekerja daripada kalangan OKU di bawah Akta 265 adalah tidak bersesuaian dengan kehendak dan fungsi Akta tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×