SABAK BERNAM: Kerajaan Selangor akan memastikan siasatan telus dilakukan berhubung insiden pelajar lelaki terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di sini.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, kerajaan negeri mengambil serius insiden itu dan telah dimaklumkan siasatan sedang dijalankan polis serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
“Kerajaan negeri menyeru masyarakat supaya bertenang dan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita palsu.
“Beri ruang penuh kepada pihak berkuasa melengkapkan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden itu,” katanya hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu, beliau turut diarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menziarahi mangsa.
“Saya akan menziarahi pelajar dan keluarga dalam masa terdekat. Kerajaan Negeri turut mendoakan agar pelajar berkenaan menjalani rawatan dengan baik serta kembali sihat,” ujarnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan polis sedang menyiasat secara terperinci kes melibatkan pelajar tingkatan tiga berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar yang mengesahkan menerima laporan kejadian itu menegaskan siasatan meliputi aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama, dan latar belakang sosial mangsa serta rakan-rakannya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.
Keputusan imbasan CT scan mendapati mangsa mengalami pendarahan pada otak selain rahang patah dan kecederaan paru-paru.
Susulan itu, keluarga tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam, kira-kira pukul 5 pagi tadi bagi tindakan lanjut.-UTUSAN










