Rindu keharmonian 90-an, perpaduan kini kian pudar

Rindu keharmonian 90-an, perpaduan kini kian pudar

RAMAI yang membangkitkan kerinduan pada suasana keharmonian kaum pada era 90-an dan tahun-tahun sebelumnya.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI individu yang membesar di era 90-an, di waktu terluang, saya sering menonton video-video berkisar zaman berkenaan di Youtube ataupun Tiktok bagi mengimbau nostalgia. 

Menginjak usia 40-an, kenangan lalu sering menggamit memori, menghadirkan rasa yang indah untuk dikenang.

Pada era 90-an, antara paling diingati sudah pastinya mengenai Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan kenangan manis Malaysia menjuarai Piala Thomas pada 1992. Saya menonton semula video-video acara pembukaaan Sukan Komanwel dan detik-detik manis ketika Malaysia menjulang Piala Thomas.

Apa yang menarik perhatian saya, adalah kebanyakkan komen di video-video berkenaan yang membangkitkan kerinduan suasana keharmonian kaum pada zaman tersebut. Era itu, atau sebelumnya, semangat perpaduan antara Melayu, Cina dan India khususnya sangat kuat. Semua kaum di Malaysia ibarat keluarga.

Semasa acara pembukaan dan penutup serta pertandingan disertai Malaysia dalam Sukan Komanwel 1998 itu, dipenuhi penyokong daripada semua lapisan kaum. Mereka sama-sama bersorak demi negara tercinta. Begitu juga suasana perlawanan akhir Piala Thomas 1992.

Kita dapat lihat betapa ikhlasnya dari raut wajah setiap rakyat Malaysia dari semua lapisan kaum ketika itu memberikan sokongan. Suasana seperti itu bukan tidak ada pada zaman sekarang, tapi ia agak sukar dirasai seperti mana dahulu.

Antara komen yang menarik perhatian saya dalam salah satu video penutup Sukan Komanwel 1998, “Serius aku seperti hendak balik semula pada zaman itu (90-an), zaman itu semua masih bersatu tidak seperti zaman sekarang”,.

Ada juga komen berbunyi, “pada masa itu, tidak ada isu perkauman seperti sekarang, semua bangsa hidup dalam keharmonian”

Itu antara komen daripada ribuan komen pada video tersebut yang membangkitkan kerinduan suasana keharmonian kaum ketika itu. 

Pada zaman itu, di kedai kopi, di kampung mahupun di bandar dan sekolah, tanpa mengira warna kulit atau agama, semua kaum hidup berkawan erat bagaikan sebuah keluarga.

Betapa indahnya kehidupan era 90-an dan zaman-zaman sebelum itu dengan masyarakat hidup harmoni meskipun berbeza kaum, agama, etnik, budaya dan latar belakang. 

Begitu juga ketika kita menyambut kemerdekaan, suasana pada zaman dahulu cukup meriah. Malam ambang kemerdekaan, masyarakat pelbagai kaum keluar beramai-ramai dengan penuh semangat cintakan tanah air.

Di awal pagi sambutan hari kemerdekaan, ibu bapa daripada semua lapisan kaum membawa anak-anak menyaksikan perarakan kontinjen.

Namun, keharmonian itu semakin hari semakin hilang dengan jurang antara kaum, etnik dan agama di negara ini semakin melebar jika dibandingkan dengan suasana pada masa lalu.

Di bandar-bandar besar khususnya keadaan lebih kritikal. Di kampung-kampung atau sekolah kehormonian kaum itu walaupun sudah tidak seperti dahulu, tetapi masih ada.

Meskipun kerajaan sudah melakukan pelbagai kempen atau program serta banyak usaha ke arah menyemat semangat perpaduan ini, namun sebenarnya ia perlu datang daripada kesedaran dan keikhlasan hati individu sendiri. 

Sekarang ini, kita lihat, lebih banyak syak prasangka kepada kaum-kaum lain berbanding saling mempercayai seperti dahulu. 

Tidak dinafikan Malaysia kini dalam keadaan perpaduannya yang semakin rapuh dan membimbangkan. Perpaduan semakin rapuh apabila keikhlasan mula hilang dengan lebih banyak prasangka buruk sesama kaum.

Keharmonian boleh dikekalkan jika kita tidak terpengaruh dengan pemikiran negatif seperti mempunyai prasangka buruk terhadap kaum lain yang kemudian membawa pada hilang rasa hormat dan sikap bertolak ansur sesama kaum. Itu yang sedang berlaku ketika ini.

Penggunaan media sosial yang semakin meluas juga ada kalanya mendorong kepada perbalahan antara kaum dan ia semakin buruk jika ada pihak yang sengaja membangkitkan isu 3R. 

Jika kita lihat, isu kaum akan menjadi semakin besar atau panas apabila terus disensasikan dalam pelbagai platform terutama media sosial dan lebih malang ramai termasuk ahli politik yang lebih suka menyemarakkan lagi api pertelingkahan berbanding meredakan keadaan.

Keadaan itu menyebabkan keharmonian dan muhibah yang terjalin sejak sekian lama mula terhakis sehingga menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat.

 

MEDIA SOSIAL

Dalam era ledakan media sosial, golongan muda khususnya boleh memainkan peranan penting dengan menyebarkan mesej keharmonian kaum melalui platform masing-masing. Inilah masanya untuk membangkitkan kembali semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Selain sukan yang sering menjadi jambatan penyatuan kaum, media sosial juga boleh dijadikan platform terbaik untuk memperkukuh perpaduan. Melalui ruang maya ini, sebarkanlah mesej positif yang mampu menyemarakkan semangat kebersamaan.

Dalam masa sama, pemimpin politik perlu tampil sebagai jambatan perpaduan, bukannya meniup sentimen perkauman demi kepentingan sempit. Malangnya, kita masih menyaksikan ada segelintir yang menjadikan isu kaum sebagai modal politik.

Dalam suasana kini, seluruh rakyat termasuk generasi Z wajar kembali menghayati prinsip Rukun Negara sebagai teras penyatuan yang harus diamalkan bersama. Semoga kita dapat menghidupkan kembali semangat perpaduan dan keharmonian kaum sebagaimana era 90-an dan sebelumnya. Percayalah, ketika itu kehidupan begitu indah dan penuh ketenangan. -UTUSAN

 

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×