Kajian dedah gelombang haba percepatkan proses penuaan

Kajian dedah gelombang haba percepatkan proses penuaan

PENDEDAHAN berulang kepada gelombang haba boleh mempercepatkan proses penuaan manusia. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Pendedahan berulang kepada gelombang haba boleh mempercepatkan proses penuaan manusia, menurut satu kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal Nature Climate Change.

Kesan jangka panjang ini dilaporkan setara dengan kerosakan kesihatan akibat merokok, pengambilan alkohol, pemakanan tidak seimbang atau kurang bersenam.

Fenomena suhu melampau yang semakin kerap berlaku akibat krisis iklim berpotensi memberi kesan kesihatan besar dan berpanjangan kepada berbilion manusia di seluruh dunia, kata penyelidik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kajian itu melibatkan 25,000 individu di Taiwan yang dipantau selama 15 tahun.

Hasilnya menunjukkan pendedahan tambahan kepada empat hari gelombang haba dalam tempoh dua tahun meningkatkan usia biologi seseorang sebanyak kira-kira sembilan hari. Bagi pekerja manual yang lebih banyak terdedah kepada panas, peningkatan usia biologi direkodkan sehingga 33 hari.

“Walaupun peningkatan itu kelihatan kecil, ia hanya diukur dalam tempoh dua tahun. Jika pendedahan berlanjutan selama beberapa dekad, kesannya terhadap kesihatan akan jauh lebih besar,” kata ketua penyelidik kajian dari Universiti Hong Kong, Dr Cui Guo.

Kajian ini menandakan satu anjakan paradigma dalam pemahaman tentang sejauh mana haba memberi kesan kepada tubuh manusia.

Sebelum ini, gelombang haba diketahui menyebabkan peningkatan kematian awal dalam jangka pendek contohnya hampir 600 kematian pramatang di England pada gelombang haba Jun lalu. Namun, penyelidikan ini antara yang pertama menilai kesan jangka panjang terhadap penuaan.

Penyelidik menggunakan ujian perubatan seperti tekanan darah, tahap keradangan, kolesterol, serta fungsi paru-paru, hati dan buah pinggang untuk menentukan usia biologi peserta, kemudian dibandingkan dengan usia sebenar mereka. Hasil analisis mendapati jumlah hari gelombang haba yang dialami adalah faktor terbesar dalam pecutan penuaan.

Prof. Paul Beggs dari Universiti Macquarie, Sydney yang tidak terlibat dalam kajian berkata, ramai antara kita merasakan kita pernah melalui gelombang haba tanpa kesan.

“Tetapi kajian ini membuktikan pendedahan kepada haba sebenarnya menjejaskan kadar penuaan,” katanya.

Beliau menambah, penemuan ini seiring dengan kajian pada 2024 yang mendapati pendedahan kepada panas ketika usia kanak-kanak memberi kesan negatif kepada perkembangan otak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini