MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, persoalan utama yang timbul ialah siapa benar-benar memahami keperluan rakyat dan mampu membawa kestabilan serta pembangunan berterusan?
Ahli Parlimen Batu Sapi merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, DATUK KHAIRUL FIRDAUS AKBAR KHAN menegaskan Sabah bukan negeri biasa dalam peta politik Malaysia. Sejarah panjang pertukaran kerajaan dan dinamik politik yang tidak menentu meletihkan rakyat yang dahagakan kestabilan.
Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR serta dibantu jurufoto, FARIZ RUSADIO di Parlimen, baru-baru ini, beliau berkata, keupayaan parti tidak lagi diukur melalui slogan tetapi melalui penyelesaian isu asas seperti bekalan air, elektrik, pendidikan, kemiskinan dan infrastruktur luar bandar.
Beliau turut mengakui walaupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat dominan sebagai parti tempatan, kerjasamanya dengan gabungan pusat seperti Pakatan Harapan (PH) turut mencetuskan persoalan tentang sejauh mana autonomi Sabah terpelihara, lebih-lebih lagi ketika sentimen ‘Sabah for Sabahan’ semakin menebal.
Khairul Firdaus yang juga merupakan ahli GRS turut berkongsi pandangan yang PRN kali ini bukan semata-mata soal kuasa tetapi penentu hala tuju Sabah sama ada ke arah kestabilan jangka panjang, atau terus berdepan ketidakpastian politik yang berpanjangan.
PASTIKAN DITERIMA RAKYAT
Kita harus sedar politik di Sabah ini sangat dinamik. Sebagai contoh, apabila Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun meninggal dunia, mungkin ramai yang tidak mengetahui beliau bukan lagi ahli UMNO pada ketika itu.
Walaupun beliau merupakan individu yang membawa masuk UMNO ke Sabah dan menjadi Pengerusi UMNO negeri yang pertama, terdapat beberapa perkara yang beliau tidak setuju sehingga akhirnya meninggalkan parti tersebut.
Sejarah turut menunjukkan beberapa pengasas dan bekas presiden UMNO sendiri, di penghujung karier politik mereka, juga bukan lagi ahli parti itu.
Mengapa saya bangkitkan perkara ini? Kerana ia penting untuk kita renungi. Dalam apa jua platform yang kita pilih untuk perjuangan, perkara paling utama ialah sejauh mana platform tersebut dapat diterima oleh rakyat.
SOKONGAN RAKYAT MASIH TEGUH
Alhamdulillah, setakat ini perjalanan politik saya masih mendapat kepercayaan dan diterima pengundi di Parlimen Batu Sapi. Namun, kita harus sedar tanggungjawab sebenar kepada pengundi yang memberikan amanah dan kepercayaan untuk kita mewakili mereka.
PERSEDIAAN PRN
Sebagai parti yang menerajui Kerajaan Negeri Sabah, menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan kedudukan yang diamanahkan rakyat. Pada masa yang sama, penting untuk kita melihat dan menghargai apa yang telah dilaksanakan GRS sepanjang tempoh pemerintahannya.
Di peringkat negeri, pelbagai inisiatif diperkenalkan. Dari sudut pendidikan, contohnya, kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan insentif kepada pelajar, terutamanya mereka yang kurang berkemampuan serta pelajar yang cemerlang. Usaha ini dapat dilihat menerusi pelbagai program yang diperkenalkan.
Lebih membanggakan, buat pertama kalinya dalam sejarah negeri Sabah, kerajaan negeri memperkenalkan Rumah Mesra SMJ. Ia merupakan inisiatif pemberian rumah secara percuma kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. Inisiatif ini diwujudkan kerana kita sedar masih ramai rakyat Sabah yang tidak mampu memiliki rumah sendiri.
Usaha ini lahir daripada iltizam Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang berjaya mengoptimumkan hasil pendapatan negeri, khususnya melalui sektor minyak dan gas. Pendapatan ini kemudiannya dikembalikan kepada rakyat melalui program seumpama ini.
Bagi keluarga berpendapatan rendah yang memiliki tapak atau tanah sendiri, mereka boleh memohon dan insya-Allah, akan dibantu untuk memiliki rumah melalui skim ini.
ISU LEGASI YANG TIDAK PERNAH SELESAI
Kita tidak boleh menafikan masih banyak masalah asas yang membelenggu rakyat. Masalah bekalan air, gangguan bekalan elektrik, jalan-jalan luar bandar yang rosak teruk, kemiskinan yang tinggi dan kadar pengangguran belia yang walaupun sedikit baik, namun masih antara yang tertinggi di Malaysia. Begitu juga dengan akses kepada kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar, semua ini masih belum dapat ditangani sepenuhnya.
Jika mahu dimasukkan dalam manifesto, kita perlu jujur, ini bukan sekadar masalah semasa atau isu GRS semata-mata. Ini adalah masalah legasi, warisan daripada kelemahan tadbir urus yang berlarutan bertahun-tahun lamanya.
Realitinya, kita sedang berdepan dengan masalah yang serius. Menidakkan atau memperkecilkan isu-isu ini adalah tidak adil kepada rakyat. Antara punca berlaku kerana kita tidak pernah wujudkan cerminan politik atau kerajaan yang stabil.
Perlu diingat, kerajaan negeri bertukar sebanyak tujuh kali. Kita juga merupakan negeri yang paling kerap bertukar ketua menteri. Dengan keadaan politik yang sentiasa berubah-ubah ini, bagaimana kita boleh merancang dan melaksanakan pembangunan asas seperti infrastruktur, keperluan asas rakyat dan agenda luar bandar secara konsisten?
Kita perlukan pendekatan yang menyeluruh dan semangat politik yang tinggi untuk menyelesaikan masalah-masalah ini. Tanpa kestabilan politik, saya secara peribadi tidak nampak bagaimana kita boleh benar-benar menyelesaikan isu-isu asas rakyat.
Ini adalah pandangan saya dan saya mungkin silap. Namun, saya percaya kita perlu mencapai kestabilan politik terlebih dahulu.
Hanya dengan itu, segala perancangan dan pelan tindakan yang dirangka boleh dilaksanakan dalam suasana yang kondusif, tersusun dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
Jadi, persoalan pokok yang harus ditanya ialah adakah kita benar-benar bersedia untuk membina kestabilan politik di negeri ini atau adakah kita mahu terus menukar kerajaan demi kerajaan hanya kerana percaya harapan baharu yang ditawarkan itu akan menyelesaikan segala masalah sedangkan realitinya, tanpa kestabilan, tiada apa yang benar-benar boleh dicapai?
KESTABILAN POLITIK
Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, kita perlu sedar kerjasama bukan hanya terbatas kepada hubungan dengan kerajaan Pusat. Sebaliknya, dengan semua pihak baik di peringkat negeri, persekutuan, mahupun pelbagai sektor lain amat penting.
Kerjasama erat akan memudahkan pelaksanaan setiap perancangan yang dirangka. Jika kita terpaksa berdepan dengan pelbagai kekangan tanpa sokongan yang padu, sudah tentu segala perancangan itu akan terganggu atau terbantut.
Oleh itu, kita perlu membina kerjasama strategik dan mewujudkan hubungan baik dengan semua pihak. Koordinasi yang rapi dan saling memahami antara satu sama lain mampu menghasilkan impak yang positif, bukan sahaja kepada kerajaan negeri tetapi juga kepada rakyat keseluruhannya.
Kita boleh lihat bagaimana GRS, yang pada awalnya melaungkan semangat autonomi politik Sabah sebagai parti tempatan untuk rakyat, kini menjalin kerjasama erat dengan PH di peringkat Persekutuan di Putrajaya. Ini menunjukkan hubungan strategik merentasi sempadan politik adalah penting demi kemajuan bersama.
GRS DIKATAKAN PROKSI PUSAT & ‘TANGAN’ DIIKAT DI PUTRAJAYA?
Persepsi umum sememangnya seperti itu. Tidak perlu saya sentuh secara dalam berkenaan dengan persepsi yang wujud pada ketika ini.
Persoalannya kenapa GRS bekerjasama dengan PH? Kalau kita lihat ‘Langkah Kinabalu’ pada 2022 yang bersama-sama GRS ketika itu ialah PH.
Dengan kerjasama bersama dan bantuan daripada PH terhasilnya kerajaan negeri yang masih wujud sampai sekarang. Itu sebabnya persoalan kenapa kita perlu bekerjasama dengan PH berbalik kepada jawapan yang saya terangkan tadi.
SENTIMEN ‘SABAH FOR SABAHAN’ TIDAK MEMIHAK KEPADA KERAJAAN NEGERI
Ini boleh dilihat dari dua sudut. Berdasarkan persefahaman yang dibentuk, GRS dijangka bertanding antara 4 hingga 7 kerusi. Ia petunjuk jelas parti tempatan masih mempunyai dominasi dan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju politik negeri.
Namun, dalam semangat persaudaraan dan kerjasama, kita juga perlu berlaku adil kepada rakan-rakan gabungan. Sebab itu, tema perpaduan ini penting supaya wujud persefahaman yang lebih kukuh antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Walau apa pun keputusan yang dibuat, ia tetap akan berpaksikan kepada kepentingan rakyat Sabah.
Memang ada isu-isu yang belum selesai, tetapi mungkin inilah proses terbaik dengan menggunakan jalan kerjasama dan keharmonian untuk menyelesaikannya.
Dengan itu, kita dapat elakkan percanggahan dan konflik serta memberi fokus kepada penyelesaian yang membawa manfaat kepada rakyat.
UMNO TIDAK KOMPROMI BAB AGIHAN KERUSI
Bagi pihak kami lebih percaya kepada proses yang harmoni dan pendekatan berteraskan kasih sayang. Tiada gunanya kita terus bertelagah, sedangkan dalam masa sama kita melaungkan perlunya kestabilan politik.
Kita perlukan persahabatan yang ikhlas, terbuka dan nyata kerana setiap bentuk konfrontasi jarang membawa kebaikan. Sebaliknya, jika kita mampu mengetengahkan mesej kasih sayang, kebaikan itu pasti akan hadir.
PELANCONGAN MALAYSIA CATAT LONJAKAN KATIBAAN
Setakat Julai tahun ini, data menunjukkan peningkatan ketibaan pelancong sebanyak 20 hingga 30 peratus berbanding tahun lalu. Ia petanda positif bagi sektor pelancongan negara.
Peningkatan ini bukan berlaku secara kebetulan tetapi hasil perancangan strategik oleh Kementerian Pelancongan dan juga Tourism Malaysia. Kedua-dua pihak wajar diberikan penghargaan kerana berjaya memahami dan menyesuaikan strategi dengan cita rasa pelancong masa kini.
BENARKAH KEMENTERIAN TERLALU FOKUS PELANCONG CHINA?
Tumpuan itu adalah langkah semula jadi memandangkan China merupakan pasaran yang besar. Namun, realitinya, banyak misi jualan dan kerjasama turut dijalankan di negara-negara lain termasuk India, negara-negara Eropah, dan Amerika Syarikat (AS). Ini terbukti melalui peningkatan ketibaan pelancong dari negara-negara tersebut.
Peningkatan ini turut disumbang pertemuan langsung dengan pemain industri pelancongan luar negara, bukan hanya di China tetapi juga di pelbagai pasaran utama lain.
Mengenai portfolio kementerian ini, saya secara peribadi sangat menghargainya. Ia memberi peluang untuk saya belajar banyak perkara baharu daripada peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa. Kementerian ini mempunyai potensi besar dan saya melihatnya sebagai satu platform yang sangat bermanfaat untuk rakyat dan diri saya sendiri.
Parlimen saya merupakan kawasan persisiran pantai dan saya telah berusaha sedaya upaya untuk memaksimumkan potensi kawasan ini dalam sektor pelancongan. Alhamdulillah, kita sudah mula melihat hasilnya. Terdapat peningkatan ketara dan beberapa produk pelancongan baharu berjaya diperkenalkan.
Namun, usaha ini tidak boleh terhenti di situ. Ia perlu terus diperluaskan, dipergiatkan dan dirancang dengan lebih teliti. Saya sedar masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Secara peribadi, saya sendiri belum berpuas hati dengan pencapaian yang ada.
Tetapi, biarlah masa yang menentukan. Yang penting, kita terus bekerja dan berusaha ke arah yang lebih baik.
INAP DESA SEMAKIN TERPINGGIR
Saya bersetuju industri inap desa memainkan peranan yang sangat penting dalam sektor pelancongan negara. Ia bukan sahaja mencerminkan budaya dan kehidupan masyarakat tempatan, malah menjadi keunikan yang boleh menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara.
Oleh itu, insya-Allah, kementerian akan merangka dan melaksanakan beberapa inisiatif pada tahun hadapan bagi memperkukuhkan industri ini. Perkara paling utama ialah mempererat kerjasama antara pihak kementerian dan pengusaha inap desa, serta memperluas jaringan ke peringkat antarabangsa.
Selepas Covid-19, pelancong tidak lagi hanya mencari pencakar langit atau suasana kota. Mereka mahukan pengalaman yang membolehkan mereka kembali kepada asas, alam dan budaya setempat. Inilah kekuatan kita di Malaysia, terutamanya di Sabah yang begitu kaya dengan keindahan semula jadi dan kepelbagaian budaya.
Jika kita dapat membina koordinasi yang baik, menjalin kerjasama strategik serta landasan kukuh bersama rakan antarabangsa, saya yakin industri inap desa akan terus berkembang dan makmur.
Setakat ini, terdapat 242 pengusaha inap desa yang berdaftar di seluruh negara. Berdasarkan pemerhatian saya, industri ini mempunyai potensi besar untuk terus maju kerana negara kita bukan sahaja kaya dengan destinasi menarik dan budaya yang pelbagai tetapi juga mempunyai pengetahuan serta kemahiran untuk mengembangkannya.
PELANCONGAN DI SABAH
Sebagai Timbalan Menteri dari Batu Sapi, saya akui jumlah pelancong ke Sabah meningkat dan ini satu perkembangan positif. Namun, cabaran sebenar ialah bagaimana memastikan momentum ini berterusan.
Kalau infrastruktur asas seperti jalan, kemudahan pelancong, dan lapangan terbang tidak dipertingkatkan, kita akan sukar bersaing dengan negeri atau negara lain. Contohnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kini sudah melebihi kapasiti dan perlu dinaik taraf segera.
Sebab itu saya sering seru agar ada koordinasi erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Perancangan pelancongan mesti selari dan berpandangan jauh.
TIDAK WAJAR BOIKOT HARI MERDEKA DEMI SOLIDARITI ZARA QAIRINA
Pertama sekali, kita mesti meletakkan keyakinan kepada siasatan dijalankan pihak berkuasa yang bertanggungjawab. Tanpa keyakinan itu, masyarakat akan mudah terpengaruh dan menilai setiap tindakan secara tidak rasional.
Keduanya, kita harus mendoakan agar segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya dan mengikut saluran yang betul.
Justeru, adalah tidak wajar untuk mengaitkan sambutan Hari Kemerdekaan dengan mana-mana isu yang sedang disiasat. Kita perlu bersikap rasional.
Hari Kemerdekaan adalah lambang perjuangan generasi terdahulu, perjuangan yang membawa kita kepada kemerdekaan dan kebebasan hari ini. Sekurang-kurangnya, kita patut menghargai dan mengenang jasa mereka dengan semangat yang sewajarnya.-UTUSAN










