KUALA LUMPUR: Dua pemandu perkhidmatan e-hailing masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menipu pembayaran menggunakan komunikasi medan dekat (NFC) sejak Jun tahun lalu.
Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap Chong Yin Hong, 42, dan Chong Li Shian, 39, selepas mereka menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah semasa sebutan kes itu hari ini.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan niat bersama melakukan capaian tanpa kuasa dan penipuan pembayaran menggunakan transaksi wang yang palsu di beberapa buah pusat membeli belah sekitar ibu negara di antara 4 dan 11 Jun 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)A Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-dua sekali.
Menurut fakta kes, pengadu yang merupakan pengurus Bahagian Siasatan Penipuan sebuah bank menerima aduan pada 10 Jun 2024 daripada salah seorang pelanggannya berhubung transaksi menggunakan telefon pintar yang mencurigakan.
Siasatan bank tersebut mendapati suspek telah membuat bayaran menggunakan NFC yang diselaraskan dengan kad kredit luar negara yang mana apabila telefon pintar itu disentuh ke terminal ‘Electronic Data Capture’ (EDC) akan menyebabkan terminal tergendala.
Selain itu, siasatan mendapati telefon bimbit milik Yin Hong mempunyai aplikasi QQBrowser dan Wallet NFC yang digunakan untuk membuat pembayaran palsu tersebut.
Kesemua telefon bimbit telah dihantar ke makmal forensik bagi laporan penuh yang mengeahkan aplikasi itu digunakan untuk tujuan penipuan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, Yin Hong dan Li Shian yang diwakili peguam bela, Muhammad Naqib Aiman Mohd Faizal memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak-anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan menanggung ibu bapa yang telah berusia. – UTUSAN










