KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sekali lagi menggesa pertemuan secara terus dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, sambil menyifatkannya sebagai langkah paling berkesan ke arah mencapai perdamaian antara kedua-dua negara.
Gesaan itu disuarakan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Ukraine yang ke-34 pada Ahad, yang turut dihadiri wakil negara Barat termasuk Utusan Khas Amerika Syarikat (AS), Keith Kellogg.
Sebelum ini, Moscow temenolak sebarang kemungkinan untuk mengadakan pertemuan segera antara kedua-dua pemimpin, sekaligus menggagalkan usaha Presiden Donald Trump, untuk menganjurkan sidang kemuncak Russia-Ukraine.
Namun, Zelensky tetap bertegas rundingan secara langsung di peringkat tertinggi adalah format paling efektif untuk mencari penyelesaian jangka panjang kepada konflik yang berlarutan.
Sementara itu, di medan pertempuran, tentera Ukraine mendakwa merampas semula tiga buah kampung di wilayah Donetsk, hanya sehari selepas Rusia melaporkan kejayaan menawan dua kampung lain di kawasan yang sama.
Hari Kemerdekaan Ukraine turut dicemari dengan serangan dron ke atas wilayah Russia, termasuk satu serangan ke atas Loji Nuklear Kursk yang mencetuskan kebakaran.
Pihak berkuasa loji memaklumkan kebakaran dikawal tanpa kecederaan atau peningkatan tahap radiasi.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebelum ini telah berulang kali memberi amaran tentang bahaya pertempuran di sekitar loji nuklear.
Russia turut melaporkan beberapa serangan dron di kawasan lain termasuk di Saint Petersburg dan pelabuhan Ust-Luga di Teluk Finland, yang menyebabkan kebakaran di terminal bahan api milik syarikat tenaga Novatek.
Sebagai tindak balas, tentera Russia melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu balistik serta 72 dron Shahed buatan Iran. Ukraine mendakwa berjaya menembak jatuh 48 daripadanya, namun seorang wanita dilaporkan terbunuh dalam serangan dron di wilayah Dnipropetrovsk.
Dalam ucapannya, Zelensky menegaskan Ukraine kini tidak lagi dilihat sebagai mangsa, sebaliknya sebagai pejuang yang mempertahankan kedaulatan negara. Beliau turut mengulangi komitmen untuk mendapatkan jaminan keselamatan daripada negara-negara sekutu Barat, walaupun Russia menentang keras kehadiran tentera asing di Ukraine.
Sehingga kini, Russia masih menguasai sekitar 20 peratus wilayah Ukraine, termasuk Semenanjung Crimea yang telah diilhakkan sejak 2014.










