GEORGE TOWN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu di sini berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup dadah bernilai RM352,000 melalui perairan Pulau Pinang dalam satu operasi khas di sini, kelmarin.
Komandernya, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, operasi menggunakan Bot Ronda RH35 milik Markas PPM Wilayah Satu Pulau Pinang itu dijalankan hasil maklumat risikan penyeludupan dadah di laut.
Beliau berkata, dalam operasi kira-kira pukul 8.10 malam itu, seorang pegawai bersama tujuh anggota telah melakukan rondaan di sekitar perairan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar di sini.
“Ketika rondaan dibuat, pasukan operasi berjaya mengesan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan mencurigakan menuju ke arah perairan antarabangsa dipercayai Indonesia tanpa menyalakan lampu navigasi.
“Cubaan untuk memintas bot tersebut bagaimanapun gagal kerana tekongnya memecut laju dan mengemudi secara berbahaya. Ketika dikejar, beberapa objek kelihatan dibuang ke laut sebelum bot berkenaan berjaya meloloskan diri,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, pasukan operasi seterusnya melaksanakan pencarian di kawasan berkenaan sebelum menemukan sebuah tong biru yang berada dalam keadaan bertutup.
“Pemeriksaan awal mendapati, tong tersebut mengandungi 11 bungkus plastik berwarna kuning keemasan bertulis ‘Guanyinwang Refined Chinese Tea’ yang disyaki dadah.
“Hasil pemeriksaan lanjut, bungkusan berkenaan didapati mengandungi plastik lutsinar berisi ketulan mampat kristal jernih disyaki methamphetamine seberat 11.19 kilogram (kg) dengan nilai pasaran dianggarkan RM352,000,” katanya.
Tambah beliau, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan jika didapati bersalah.
“Dalam hal ini, pihak kami akan terus mempergiatkan rondaan, operasi dan risikan di kawasan perairan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah dan aktiviti jenayah lain,” katanya. – UTUSAN










