KEPUTUSAN dan pengesahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam menghentikan pengambilan pelajar pascasiswazah dari luar negara sejak tahun lalu boleh disifatkan sebagai langkah berani dan strategik yang menyasarkan pemerkasaan jati diri institusi serta penolakan terhadap dominasi kerangka neo-liberalisme dalam pendidikan tinggi.
Langkah ini memberi peluang kepada UiTM untuk memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan yang berlandaskan aspirasi kebangsaan, bebas daripada tekanan pasaran global yang sering memposisikan universiti sebagai entiti komersial.
Dalam kerangka neo-liberalisme, pendidikan tinggi dilihat sebagai komoditi yang dijual, manakala universiti bersaing dalam pasaran untuk yuran pelajar, pengiktirafan antarabangsa (ranking) dan prestasi metrik yang ditentukan secara luaran.
Kritikan terhadap mekanisme seperti ini timbul apabila universiti dilihat memberi laluan alternatif yang menekankan keupayaan kewangan berbanding merit atau keperluan sosial.
Ini menyemai bibit ketidaksaksamaan dan memberi isyarat bahawa perkhidmatan pendidikan awam yang dahulunya berteraskan prinsip kesejahteraan kini sedang digugat oleh prinsip keuntungan dan kebolehjualan.
Dalam hal ini, keputusan UiTM dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan semula orientasi sosial universiti, kembali kepada asas penubuhannya sebagai institusi pemerkasaan Bumiputera. Ia juga berpotensi mengurangkan tekanan kepada para pensyarah yang kini terbeban dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berasaskan penerbitan berimpak tinggi dan kedudukan antarabangsa yang sering menelan kos, tetapi tidak semestinya memberi impak langsung kepada komuniti tempatan.
Dengan autonomi dalam merangka indikator prestasi yang lebih sejajar dengan keperluan negara, para pensyarah di UiTM dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan ilmu, inovasi dan khidmat masyarakat. Ini termasuk menulis dalam bahasa kebangsaan, menerbitkan untuk kegunaan komuniti, serta menjalankan penyelidikan berasaskan cabaran tempatan. Semua ini selari dengan semangat pendidikan tinggi yang merakyat.
UiTM juga boleh membina keterlihatan akademiknya melalui naratif dan ekosistem tersendiri, tanpa terlalu bergantung kepada ranking atau metrik antarabangsa. Perluasan jaringan kerjasama industri dan komuniti, jika diurus dengan bijak, boleh menjadi asas baharu kepada model kelestarian universiti.
Dalam konteks kelestarian kewangan jangka panjang, UiTM disarankan untuk meneroka secara agresif potensi wakaf pendidikan dan dana endowment Bumiputera. Sejarah membuktikan bahawa institusi pendidikan Islam dan awam yang bertahan lama lazimnya disokong oleh sumber-sumber dana masyarakat.
Dengan penglibatan alumni, korporat Bumiputera dan masyarakat umum, UiTM boleh membina dana wakaf strategik bagi menyokong biasiswa, pembangunan prasarana dan projek penyelidikan. Usaha ini bukan sahaja memperkukuh kebergantungan dalaman, tetapi juga mencerminkan keupayaan komuniti Bumiputera menyokong institusi yang menjadi teras kepada pembangunan bangsa.
Langkah menghentikan pengambilan pelajar antarabangsa ini bukanlah penolakan terhadap keterbukaan, tetapi penegasan terhadap keperluan membina model pendidikan yang lebih adil, berdaulat dan berasaskan nilai kebangsaan.
Namun begitu, keberhasilan inisiatif ini akan bergantung sepenuhnya kepada kebijaksanaan pihak pentadbiran UiTM dalam merangka dasar pelaksanaan yang progresif, lestari dan berpaksikan kepentingan bersama. – UTUSAN
DR. MOHD. MOKHTAR MUHAMAD
Jabatan Asas Pendidikan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia











