Azerbaijan bimbang paras Laut Caspian turun mendadak

Azerbaijan bimbang paras Laut Caspian turun mendadak

PARAS laut Caspian menurun sebanyak 0.93 meter dalam tempoh lima tahun lalu, 1.5 meter dalam 10 tahun terakhir, dan 2.5 meter sejak 30 tahun lepas dengan kini dianggarkan sekitar 20 hingga 30 sentimeter setahun. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAKU: Pihak berkuasa Azerbaijan memberi amaran mengenai penurunan paras air Laut Caspian secara mendadak hingga menjejaskan operasi pelabuhan, penghantaran minyak serta mengancam populasi ikan sturgeon dan anjing laut secara kritikal.

Laut Caspian yang merupakan tasik masin terbesar di dunia mengandungi simpanan minyak luar pesisir yang besar dan dikelilingi oleh lima negara utama pengeluar minyak dan gas iaitu Azerbaijan, Iran, Kazakhstan, Russia dan Turkmenistan.

Timbalan Menteri Ekologi Azerbaijan, Rauf Hajjiyev memberitahu Reuters, walaupun penurunan paras laut sudah berlaku selama beberapa dekad, data terkini menunjukkan trend itu semakin meruncing.

Menurutnya, paras laut menurun sebanyak 0.93 meter (m) dalam tempoh lima tahun lalu, 1.5m dalam 10 tahun terakhir, dan 2.5m sejak 30 tahun lalu. Kini, kadar penurunan dianggarkan sekitar 20 hingga 30 sentimeter (cm) setahun.

“Penyusutan kawasan pesisir pantai ini mengubah keadaan semula jadi, mengganggu aktiviti ekonomi dan mewujudkan cabaran baharu terhadap pembangunan mampan,” katanya.

Hajjiyev turut mewakili Azerbaijan dalam satu kumpulan kerja bersama Russia yang mengadakan mesyuarat sulung pada April lalu bagi membincangkan isu ini.

Walaupun hubungan antara kedua-dua negara semakin tegang, satu protokol ditandatangani untuk melaksanakan program pemantauan bersama secara dalam talian pada September.

Russia mengaitkan isu ini dengan perubahan iklim, namun Azerbaijan turut menuding jari kepada pembinaan empangan Russia di Sungai Volga yang menjadi sumber utama (80 peratus) air yang mengalir ke Laut Caspian.

Jelas Hajjiyev, kesan penurunan paras laut sudah dirasai oleh penduduk pesisir dan operasi pelabuhan termasuk pelabuhan utama di ibu negara, Baku.

Kapal kini menghadapi kesukaran untuk masuk dan beroperasi di pelabuhan, mengurangkan kapasiti kargo dan meningkatkan kos logistik.

Dianggarkan seramai empat juta penduduk tinggal di kawasan pesisir Azerbaijan, manakala keseluruhan wilayah Caspian menempatkan sekitar 15 juta penduduk. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×