Veteran ATM perlu teroka industri bernilai tinggi dalam RMK13

Veteran ATM perlu teroka industri bernilai tinggi dalam RMK13

ADLY Zahari pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (Puvet ATM) peringkat Negeri Sabah di Tawau, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diminta untuk lebih giat meneroka industri berimpak dan bernilai tinggi yang menjadi fokus utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sektor seperti teknologi digital, elektrik dan elektronik bernilai tinggi, pertanian moden dan industri asas tani menawarkan potensi besar yang boleh diceburi veteran ATM bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Veteran ATM mempunyai pengalaman, disiplin dan keupayaan untuk menjadi penyumbang kepada aspirasi RMK13 yang mahu menjadikan Malaysia sebagai consumption powerhouse dengan produk dan perkhidmatan Made by Malaysia,” katanya ketika menyempurnakan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (Puvet ATM) peringkat Negeri Sabah di Tawau, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Datuk Amir Md. Noor.

Setakat ini, seramai 225 usahawan veteran ATM menerima Geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) berjumlah RM1.13 juta di bawah program tersebut.

Puvet ATM yang sebelum ini dilaksanakan sebanyak 11 siri di Semenanjung Malaysia sejak 2023, buat julung kalinya diperluas ke Sabah. 

Menurut Adly, pengembangan ini membuktikan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan melalui Perhebat untuk memperkukuh sosioekonomi veteran ATM di seluruh negara.

Katanya, tahun ini, program berkenaan menampilkan pendekatan baharu dengan memberi peluang kepada veteran melawat secara langsung lapangan industri. 

“Seramai 35 veteran ATM dibawa meninjau tiga sektor utama di Tawau, iaitu industri pelancongan di Hutan Simpan Mambalua, industri pertanian di Taman Kekal Pertanian Makanan, serta ladang ternakan ayam daging milik seorang usahawan veteran di Kausing A Batu 8.

“Melalui lawatan tersebut, para peserta diberi taklimat oleh agensi berkaitan termasuk Lembaga Pelancongan Sabah, Jabatan Belia dan Sukan Sabah, Jabatan Pertanian Tawau, Jabatan Veterinar Tawau serta Pertubuhan Peladang Kawasan Tawau,” katanya.

Jelas beliau lagi, Puvet ATM akan terus diperluas dengan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan swasta agar lebih ramai veteran dapat akses kepada geran, insentif dan peluang keusahawanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×