BULAN Kebangsaan merupakan bulan yang begitu besar ertinya bagi setiap rakyat Malaysia. Ketibaan bulan ini membawa banyak kenangan manis semasa saya masih kecil.
Sebagai seorang yang meminati bendera, saya teruja melihat bendera Malaysia berkibar megah di persekitaran, menghiasi bangunan pejabat, kedai dan rumah. Suasana ini menjadikan bulan Ogos begitu istimewa sekali.
Rakyat mengibarkan bendera negara untuk menzahirkan rasa cinta dan kesetiaan kepada tanah air tercinta. Semangat kenegaraan ini tersemat erat di hati rakyat Malaysia sejak negara Persekutuan ini dibentuk sehinggalah kepada hari ini.
Semangat murni inilah juga yang menyatupadukan kita semua selama ini sehingga dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni bersama-sama tanpa mengira bangsa dan keturunan.
Namun malangnya, baru-baru ini negara dikecohkan lagi dengan kejadian bendera dikibarkan terbalik. Hal ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh soal maruah dan kedaulatan negara. Ia harus ditangani dengan tuntas agar tidak terus berulang.
Pihak berkuasa mesti mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang yang ditetapkan bagi memastikan bukan sahaja penggunaan bendera negara dihormati dan tatacara dipatuhi tetapi begitu juga dengan penggunaan semua lambang-lambang kebesaran negara dan negeri yang lain.
Kita harus sedar masalah ini tidak akan dapat diselesaikan dengan cara menghamburkan kata-kata kesat dan menuding jari ke arah pihak lain. Lebih buruk lagi, tindakan sebegitu akan mencetuskan lebih banyak masalah. Apatah lagi apabila berlakunya provokasi-provokasi panas.
Kejadian bendera terbalik ini bukanlah berlaku buat pertama kalinya, tetapi sejak lama dahulu dan akan terus berlaku jika tiada tindakan tegas diambil sebagai pengajaran kepada mereka yang terbabit.
Pengalaman pertama saya melihat bendera dikibarkan secara terbalik adalah pada 2017. Sejak itu saya sering menulis tentang hal ini setiap kali melihat sama ada bendera kebangsaan, negeri mahupun daerah dikibarkan dan dipaparkan dalam keadaan tidak wajar.
Ketika berada di Kota Tinggi, Johor saya amat terkejut apabila terpandang bendera negeri Johor dikibarkan secara terbalik di hadapan sebuah hotel terkenal. Saya memberitahu ayah tentang perkara itu. Ayah berpatah balik untuk memastikan hal tersebut sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pihak pengurusan hotel mengakui kesilapan dan kecuaian sehingga tidak menyedari bendera negeri dikibarkan terbalik oleh pekerja warga asing yang bertugas. Hal ini jelas menunjukan pihak pengurusan hotel cuai dan tidak membuat pengawasan yang sepatutnya.
Memang tidak dapat dinafikan banyak kejadian bendera dikibarkan secara salah berlaku akibat kecuaian, kejahilan serta sikap sambil lewa. Bukannya semuanya dilakukan secara sengaja atau kerana niat yang tidak baik.
Secara umumnya, kita sering mengambil mudah akan tatacara bendera. Tiada makluman khusus diberikan kepada pekerja yang ditugaskan untuk memasang bendera negara dan negeri, terutamanya apabila petugas itu merupakan warga asing yang tidak biasa dengan bendera kita.
Inilah antara punca masalah yang harus diatasi supaya mereka yang ditugaskan memasang bendera memahami, mematuhi serta menghormati protokol. Pada masa sama, pengawasan mesti dilakukan bagi memastikan tidak berlaku pengabaian kepada protokol bendera.
Walau apa pun alasannya, tindakan mesti dikenakan sama ada kesalahan itu berlaku akibat kecuaian, apatah lagi jika dilakukan dengan sengaja untuk menimbulkan kebencian atau menyakiti pihak lain.
Saya melihat orang ramai mula lantang menyuarakan hal ini hanya setelah ia disensasikan dan dipolitikkan di media sosial. Apabila ia tidak dipolitikkan, kita seolah-olah langsung tidak ambil endah meskipun ia berlaku di depan mata.
Buktinya? Ramai langsung tidak perasan bendera Malaysia yang digunakan di perisian WhatsApp sejak 2017 sebenarnya memaparkan reka bentuk yang salah dengan ukuran petak biru berlambangkan bulan bintang dikecilkan.
Apabila saya menulis tentangnya sejak bertahun lalu, tiada yang ambil endah walaupun WhatsApp digunakan secara harian oleh hampir kesemua rakyat Malaysia.
Walaupun niat untuk memperbetulkan yang salah tetapi ia juga merupakan kesalahan jika hal ini dijadikan bahan untuk dipolitikkan dan disensasikan semata-mata, sehingga menimbulkan fitnah dan salah faham dalam kalangan rakyat.

CARI PENYELESAIAN
Kita harus lebih tertumpu dalam mencari jalan penyelesaian secara tuntas serta berkesan, bukannya sekadar membakar hal ini demi kandungan panas di media sosial seperti kes buli yang sedang hangat dibincangkan.
Bagi saya, mengenakan hukuman sewajarnya ke atas mereka yang bersalah tidak mencukupi bagi mengatasi hal ini. Pada masa sama, kita juga harus mendidik dan menasihati supaya mereka tidak mengambil mudah akan hal ini kelak.
Dalam kita memperkatakan tentang masalah ini, jangan pula bersikap tidak peduli jika melihat bendera yang jatuh ke lantai atau terbiar di atas tanah kerana menganggap itu bukan urusan kita.
Begitu juga dengan memotong Jalur Gemilang untuk dijadikan pakaian atau tudung. Bendera negara bukanlah sekadar sehelai kain bercorak yang boleh diperlakukan dengan sesuka hati, terutamanya untuk dijadikan kain, seluar, alas duduk, dipijak atau dilangkah.
Bendera yang lusuh dan koyak tidak boleh dibiarkan berkibar. Ia mesti diturunkan dan dibakar secara tertutup. Ia tidak boleh sekali-kali dibuang ke dalam tong sampah.
Proses menggantung, menurun serta menyimpan bendera-bendera negara dan negeri juga mesti dilakukan dengan penuh hormat, tertib serta mematuhi tatacara yang ditetapkan.
Cara membuat bendera mesti mematuhi ketetapannya. Ukuran dan warnanya mestilah tepat.
Saya pernah menulis tentang lukisan besar yang menghiasi dinding sebuah sekolah yang memaparkan bendera Selangor dengan bintang pecah enam. Berbulan-bulan ia kekal begitu, namun langsung tidak pernah menjadi sensasi media sosial dan sekadar dipadam secara senyap-senyap setelah pihak sekolah akhirnya perasan.
Kerajaan harus memperkenalkan pendidikan tentang tataguna bendera kepada semua pelajar sekolah supaya tiada lagi rakyat Malaysia yang jahil tentang tataguna bendera negara dan negeri-negeri Malaysia.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










