KUALA LUMPUR: Majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2024 boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun sekiranya mengulangi kesalahan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), beberapa penalti telah diperuntukkan mengikut tahap kesalahan majikan.
“Bagi kesalahan pertama, majikan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja. Bagi kesalahan berulang pula, dendanya boleh mencecah RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun.
“Selain itu, majikan yang melakukan kesalahan berterusan selepas sabitan boleh dikenakan denda RM1,000 setiap hari,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai pelaksanaan kadar gaji minimum per jam bagi kerja sambilan serta tindakan terhadap majikan yang melanggar perintah gaji minimum.
Chee Keong berkata, bermula 2021 hingga Jun 2025, Jabatan Tenaga Kerja di Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah mengenakan sebanyak 307 tindakan pendakwaan berkaitan kesalahan melanggar perintah gaji minimum dengan jumlah denda yang dikenakan sebanyak RM474,100.
Katanya, Perintah Gaji Minimum 2024 yang berkuatkuasa pada 1 Februari 2025 menetapkan kadar gaji minimum perlu dibayar kepada pekerja mengikut bulan, harian dan jam termasuk pekerja sambilan yang ditakrifkan di bawah Akta Kerja 1955.
“Perintah ini terpakai kepada semua pekerja sektor swasta yang telah memasuki kontrak perkhidmatan, tanpa mengira status kerja penuh masa atau sambilan,” katanya. – UTUSAN







