PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden dalam Pemilihan Pas Pusat 2025.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim merupakan calon tunggal bagi kedua-dua jawatan tersebut sekali gus menyaksikan tiada pertandingan.
Sebaliknya, berlaku pemilihan jawatan Naib Presiden apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor masuk gelanggang persaingan kedudukan tersebut.
Seperti dijangka, tiga penyandang iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah mempertahankan kedudukan masing-masing.
Hanya tiga jawatan diperuntukkan untuk kedudukan Naib Presiden Pas, di mana keempat-empat pemimpin itu perlu bersaing sesama sendiri.
Dalam pada itu, seramai 38 nama dicalonkan untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat antaranya dua bekas pemimpin UMNO iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Bagi sayap lain seperti Dewan Ulama Pas, terdapat persaingan jawatan Ketua Dewan Ulama antara penyandang, Datuk Ahmad Yahya yang dicabar Datuk Mohd. Nor Hamzah.
Selain itu Ketua Pemuda Pas, Afnan Taib Azamudden juga dicabar Mohamed Sukri Omar.
Bagaimana tiada pertandingan jawatan Ketua Muslimat Pas yang kini disandang Nuridah Mohd. Salleh.-UTUSAN









