Trafik antarabangsa di KLIA naik 10 peratus

Trafik antarabangsa di KLIA naik 10 peratus

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merekodkan peningkatan 10.3 peratus trafik penumpang antarabangsa pada Julai 2025 dengan jumlah 3.9 juta orang berbanding 3.6 juta pada bulan sebelumnya.

Pertumbuhan ini didorong oleh inisiatif pengembangan rangkaian strategik termasuk pelancaran perkhidmatan tiga kali seminggu oleh Loong Air (GJ) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Xi’an, sekali gus memperkukuh keterhubungan KLIA ke pasaran utama di China.

Pada masa ini, KLIA menempatkan beberapa syarikat penerbangan China termasuk China Southern Airlines, China Eastern Airlines, Xiamen Airlines dan Air China yang menghubungkan penumpang dari bandar utama seperti Guangzhou, Shanghai, Xiamen dan Beijing. 

Laluan baharu Loong Air ke Xi’an menambahkan lagi capaian KLIA ke pasaran udara China yang luas, mengukuhkan kedudukan lapangan terbang itu sebagai pintu masuk penting penumpang China ke Asia Tenggara dan destinasi lain.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, ini merupakan pertumbuhan strategik dalam keterhubungan ke China dan menjadi pemacu utama kepada pengembangan ekonomi Malaysia yang lebih luas serta memperkukuh kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan pilihan di Asia Tenggara

“Pautan udara terus dengan bandar pesat membangun seperti Xi’an bukan sahaja meningkatkan trafik penumpang, malah membuka peluang perdagangan dan pelaburan yang lebih besar. 

Ia sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk utama pergerakan China-Asia Tenggara, menyokong pertumbuhan mampan dalam sektor penerbangan, pelancongan dan perdagangan serta mempercepatkan integrasi serantau.

“Selain KLIA, rangkaian lapangan terbang tempatan di bawah kendalian Malaysia Airports mengendalikan sejumlah 8.9 juta pergerakan penumpang pada Julai 2025, terdiri daripada 4.6 juta penumpang antarabangsa dan 4.3 juta penumpang domestic,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (ISG) di Istanbul, Turkiye yang dimiliki sepenuhnya oleh kumpulan tersebut, merekodkan 4.4 juta pergerakan penumpang pada tempoh sama, merangkumi 2.3 juta antarabangsa dan 2.1 juta domestik. 

“Secara keseluruhan, jumlah penumpang di bawah kumpulan Malaysia Airports mencecah 13.3 juta pada Julai, meningkat 5.7 peratus berbanding Jun 2025.

“Malaysia Airports terus memberi tumpuan terhadap usaha penambahbaikan infrastruktur dan teknologi bagi menampung peningkatan jumlah penumpang serta meningkatkan pengalaman perjalanan.

“Inisiatif ini selari dengan aspirasi kumpulan untuk muncul sebagai satu daripada hab penerbangan dan logistik paling berhubung di rantau Asia Pasifik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×