Merealisasikan impian Malaysia sebagai negara AI pada 2030

Merealisasikan impian Malaysia sebagai negara AI pada 2030

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) mendepani Aspirasi Malaysia kecerdasan buatan (AI) 2030 demi masa hadapan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANCANGAN Malaysia Ke‑13 (RMK13), sebagaimana dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lalu, bukan sekadar rangka pembangunan jangka sederhana bagi negara.

Sebaliknya, ia adalah manifestasi aspirasi Malaysia Madani, sebuah masyarakat inklusif, berdaya saing, bersepadu nilai dan teknologi selain menjunjung prinsip keadilan, kesejahteraan serta inovasi.

Malaysia Madani menekankan pembangunan manusia seimbang dari segi ekonomi, sosial dan nilai moral. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil peranan proaktif dalam memacu gagasan ini melalui agenda pendidikan, penyelidikan dan kerjasama masyarakat yang erat dengan landasan RMK13.

PENUBUHAN FAKULTI AI & PENCAPAIAN TERKINI

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi mandat kepada UTM untuk menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (Fakulti AI), pusat pengajian AI pertama negara yang dilancarkan pada 10 Mei 2024 oleh Perdana Menteri. Penubuhan fakulti ini bertujuan melahirkan bakat AI dengan kepakaran pelbagai disiplin, daripada algoritma pembelajaran mesin hingga etika AI.

Sejak penubuhannya, fakulti ini mencapai pelbagai kejayaan dan kemajuan. Dalam aspek pendidikan AI, fakulti ini menawarkan program Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dengan Kepujian di UTM Kuala Lumpur. Kohort pertama seramai 114 orang memulakan pengajian pada Oktober 2024.

Pengambilan pelajar baharu pada sesi akan datang adalah seramai 180 orang. Pengajian AI peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) akan turut ditawarkan dalam masa terdekat.

Bagi membentuk ekosistem AI yang mampan, Konsortium AI Malaysia (MAIC) diwujudkan pada 2024 bagi menyokong fungsi Fakulti AI. Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang ditubuhkan pada 28 Ogos 2024 turut berperanan memperkukuh ekosistem AI di Malaysia.

NAIO turut bersama MAIC dalam usaha memacu agenda AI negara dengan pendekatan lebih menyeluruh. Agensi-agensi seperti TalentCorp, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan CyberSecurity Malaysia juga berperanan dalam konsortium AI ini.

Melalui MAIC, agenda AI negara dapat diselaraskan antara setiap institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi mewujudkan satu pendekatan bersepadu dan mengoptimumkan kepakaran bidang tujahan penyelidikan.

Sebagai contoh, UTM mengetuai agenda AI untuk robotik dan kejuruteraan manakala Universiti Malaya (UM) untuk agenda AI dalam diagnostik perubatan dan penjagaan kesihatan.

Melalui MAIC juga, ekosistem AI dapat digerakkan dengan penglibatan pihak industri seperti Huawei, Dell, Azure, dan Alibaba. Industri berasaskan semikonduktor juga dilibatkan, seperti Samsung, Intel dan Skychip bagi menyokong agenda AI.

Keterlibatan industri ini memastikan agenda AI di Malaysia bergerak seiring dengan keperluan dan kemajuan industri.

Terkini, UTM membuat kunjungan ke pejabat Google di Singapura pada 13 Ogos, lalu. Kunjungan sempena program Meja Bulat Kepemimpinan Pendidikan Tinggi Malaysia-Singapura yang dihoskan UTM dengan kerjasama Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR).

Program ini membuka peluang strategik baharu buat UTM secara khusus dan universiti awam Malaysia secara umum untuk memperkasa ekosistem AI di Malaysia.

Meja bulat berkenaan juga membicarakan peranan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Johor Talent Development Council (JTDC) dan Kerajaan Negeri Johor bagi memperkasa bakat dalam bidang ekonomi utama, khasnya ekonomi digital berpaksikan AI.

Sehingga kini, UTM bekerjasama dengan lebih 20 industri kecil dan sederhana (IKS) untuk pengaplikasian AI dan mengadakan sesi penglibatan bersama komuniti untuk pendidikan dan kesedaran AI. Fakulti AI dan Pusat Kecerdasan Buatan dan Robotik (CAIRO) UTM mengetuai pelaksanaan agenda AI kepada kumpulan sasaran berkenaan.

Antaranya, program kesedaran dan pendidikan AI yang telah dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan sekolah berhampiran UTM Kuala Lumpur.

Fakulti AI UTM juga menerima kunjungan lebih dari 60 buah institusi dalam dan negara luar negara, agensi dan syarikat multinasional, serta lebih dari 300 individu bagi mengadakan kerjasama dalam bidang AI.

Antara institusi yang berkunjung dan berkolaborasi dengan Fakulti AI termasuk Keele University, Loughborough University, ITMO University, Matsuo Lab-University of Tokyo, Peking University dan Zhejiang University.

Dalam penarafan universiti dunia, UTM menempa kedudukan 100 teratas dalam QS World University Rankings 2025 by Subject untuk bidang Data Sains dan Kecerdasan Buatan. Pencapaian ini membanggakan buat universiti dan negara. Kesohoran global mulai diraih, walaupun kewujudan Fakulti AI UTM relatifnya masih baharu, kira-kira setahun.

Impak lain kewujudan Fakulti AI ialah seramai 10,000 orang individu mengikuti kursus dalam talian, Kecerdasan Buatan dalam Pendidikan pada sesi 2024/2025 yang dikendalikan di bawah UTM-MOOC dan Micro-Credential. Sebanyak 24 kursus profesional bidang AI juga turut ditawarkan. Kesemua inisiatif pembangunan bakat AI ini menjana pendapatan lebih RM 800,000.

MALAYSIA NEGARA AI PADA 2030

RMK13 menyebut hasrat kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebuah Negara AI menjelang 2030. Negara AI merujuk negara berteknologi AI yang menyepadukan teknologi ini secara menyeluruh sebagai teras utama pembangunan sosioekonomi negara dan kehidupan harian rakyat.

RMK13 menyarankan peralihan negara ke dalam era digital dan AI, membina ekosistem AI yang mampan, memacu kemajuan ekonomi berdasarkan teknologi serta meningkatkan hasil penyelidikan dan inovasi nasional, sejajar Kerangka Ekonomi Madani.

UTM mengambil peranan strategik sebagai peneraju utama pembangunan infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan (R&D) AI negara. UTM optimis untuk mengepalai pelbagai inisiatif pendidikan, penyelidikan dan latihan bagi memenuhi kehendak pasaran tenaga kerja AI negara, dengan memanfaatkan platform MAIC.

LANGKAH KE HADAPAN

Untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara AI, UTM merancang tiga langkah strategik. Pertama, menubuhkan pusat penyelidikan baharu untuk bidang Falsafah Neuro, Cip AI, Teknologi Kuantum dan Kepelbagaian Neuro.

Kedua, menggerakkan syarikat pemula dan inovasi komersial dengan memperkukuh pusat inovasi dan teknologi, memacu pelajar dan alumni untuk menubuhkan syarikat pemula AI atau mempraktikkan teknologi AI di industri melalui inkubator dan sokongan industri.

Ketiga, memperluas kerjasama antarabangsa dengan mempertingkat jaringan pertukaran dan kolaborasi antara UTM dengan universiti global dan institusi penyelidikan AI.

UTM akan menyokong penuh pelaksanaan RMK13 melalui penghasilan bakat AI yang mahir untuk menjayakan aspirasi Malaysia menjadi Negara AI.

Dengan pelbagai usaha yang direncana ini, impian menjadikan Malaysia sebuah Negara AI pada 2030 akan mampu dicapai. Insya-Allah.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan profesor bidang Kecerdasan Buatan (AI).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×