Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Pepatah Melayu ini mengingatkan kita pendidikan bermula daripada guru, kerana gurulah yang mencorakkan minda dan masa hadapan anak-anak kita. Namun, cabaran terbesar yang dihadapi guru hari ini ialah bagaimana menjadikan pengajaran lebih mudah difahami, lebih menarik dan lebih berkesan.
Inilah yang cuba diselesaikan oleh Program Latihan Visual Teachers, sebuah program inovatif yang dibangunkan oleh Dr. Ruzaimi Mat Rani, pengasas Drawzania bersama Yayasan Wiba Prima (YWP).
Sejak tahun 2022, program ini melatih ribuan guru dari pelbagai negeri termasuk Johor, Kelantan, Perak dan Selangor untuk menguasai keupayaan Visualisation Through Freehand (VTF), satu kaedah komunikasi visual spontan yang terbukti mampu meningkatkan kefahaman pelajar.
Daripada kajian ke realiti
Kajian Dr. Ruzaimi Mat Rani membuktikan visualisasi melalui lakaran bebas (keupayaan Visualization Through Freehand) adalah antara kaedah paling berkesan untuk menyampaikan konsep abstrak dan rumit.
Sama ada dalam subjek Matematik, Sains, Sejarah atau Pendidikan Islam, lakaran spontan membolehkan murid ‘melihat’ perkara yang guru terangkan, menjadikan ilmu lebih mudah dicerna dan diingati.
Hasil kajian ini tidak lagi kekal di bilik kuliah, tetapi telah diterjemahkan ke dalam bentuk latihan praktikal melalui program Visual Teachers.
Inilah kekuatan utama program ini, ia dibina atas asas penyelidikan yang kukuh dan dilaksanakan dengan kaedah yang mudah dikuasai guru di lapangan. Buku Profits From Visuals menjadi rujukan penting kepada program ini.
Gabungan Unik: Lakaran Freehand + Kecerdasan Buatan (AI)
Apa yang menjadikan Visual Teachers lebih relevan dengan era kini ialah keberanian untuk menggabungkan teknik tradisional lakaran tangan dengan teknologi terkini kecerdasan buatan (AI).
Dalam modul-modul latihan, guru bukan sahaja diajar melakar dengan berkesan untuk zahirkan idea-idea bernas, tetapi juga menggunakan aplikasi AI untuk memperkemaskan lakaran, mempercepatkan proses penghasilan bahan PdP dan menyesuaikan kandungan mengikut keperluan pelajar.
Hasilnya, guru lebih yakin, pelajar lebih aktif dan proses pembelajaran menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Seperti yang sering dikatakan oleh guru-guru selepas tamat latihan Visual Teachers:
“Kemahiran ini bukan sekadar tambahan, tetapi sesuatu yang kritikal untuk saya sebagai pendidik.”
Sokongan yang membina, harapan yang diteruskan
Kejayaan Program Visual Teachers ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan pelbagai pihak terutama Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Pusat Pengajian Tinggi dan lain-lain organisasi.
Kepercayaan yang mereka berikan membolehkan guru-guru dalam pelbagai peringkat pendidikan dapat dilatih.
Contohnya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan memberi peluang guru-guru terpilih semua daerah untuk menyertai program Visual Teachers.
Manakala di Terengganu, melalui kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), guru-guru taska berpeluang dilatih dengan ilmu ini.
Di Perak pula, Jabatan Pendidikan Negeri Perak melalui kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar dan Kinta Utara, program Visual Teachers dapat dijayakan dengan cemerlang. Begitu juga usaha menganjurkan Visual Teachers daripada Pertubuhan Rakan Komuniti Pendidikan Perak (PRKPP) yang amat prihatin kepada pembangunan guru.
Kerjasama erat ini membuktikan apabila pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah, guru, yayasan dan pertubuhan berganding bahu, impaknya akan dirasai oleh ribuan pelajar di seluruh negara.
Namun, perjalanan kita masih panjang. Untuk benar-benar memberi impak pada skala nasional, Visual Teachers memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, sama ada kementerian, korporat, mahupun individu yang prihatin.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik...”
Inilah yang cuba kita lakukan: mengajak masyarakat bersama-sama memperkasa guru, kerana guru yang hebat akan melahirkan generasi pelajar yang hebat.
Bina negara bermula dengan guru
Di Yayasan Wiba Prima, kami percaya setiap usaha kecil guru di bilik darjah menyumbang kepada usaha besar membina negara. Melatih guru melakar mungkin kelihatan sederhana, tetapi kesannya luar biasa.
Pelajar lebih faham, lebih fokus dan lebih seronok belajar.
Seperti kata pepatah Inggeris yang sangat tepat: “Every master was once a disaster.”
Begitu jugalah guru-guru kita, mereka sentiasa mahu belajar, meningkatkan diri dan memperbaiki kaedah mereka demi anak-anak bangsa. Visual Teachers hadir untuk memberikan mereka ruang dan kemahiran menzahirkan idea-idea bernas melalui lakaran visual.
Seruan kepada masyarakat
Kami di Yayasan Wiba Prima mengajak semua pihak untuk bersama-sama menyokong Visual Teachers. Dengan sokongan anda, lebih ramai guru dapat dilatih, lebih banyak sekolah dapat disentuh dan lebih ramai pelajar dapat menikmati pengalaman belajar yang menyeronokkan serta bermakna.
Hubungi kami di Yayasan Wiba Prima untuk maklumat lanjut, penajaan atau kolaborasi. Bersama-sama kita jayakan usaha ini demi masa hadapan pendidikan negara.
Kami juga sedang mencari penaja daripada orang perseorangan atau organisasi yang boleh menaja buku Profits From Visuals untuk dihadiahkan kepada semua sekolah-sekolah dan guru-guru di Malaysia.
Walaupun usaha ini kecil tetapi percayalah, ia akan berkembang menjadi legasi kepada pembangunan pendidikan negara.-UTUSAN










