68 tahun merdeka, bahasa kebangsaan masih dinodai

68 tahun merdeka, bahasa kebangsaan masih dinodai

RAKYAT tidak menolak bahasa ibunda mana-mana kaum tetapi bahasa kebangsaan tidak boleh terus dipijak di tanah sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAN di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi, dan berlain-lainan bahasa kamu serta warna kulit kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (al-Rum: 22)

Kemerdekaan bukan sekadar tanggal 31 Ogos, bukan sekadar kibaran Jalur Gemilang di langit malam. Kemerdekaan adalah jiwa, roh dan maruah bangsa. 

Tahun ini, Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-68, namun persoalan besar menikam nurani kita, adakah jiwa bangsa ini benar-benar merdeka jika bahasa kebangsaan sendiri masih dipinggirkan?

Bahasa adalah nadi bangsa, tunjang kemerdekaan dan akar penyatuan. Namun, di bumi merdeka ini, masih ada warga negara yang tidak memahami bahasa bangsanya sendiri. 

Di mahkamah, dalam urusan rasmi, bahkan dalam pentadbiran negara, bahasa Melayu masih direndahkan. Pertuduhan jenayah terpaksa dibacakan dalam bahasa asing kerana tertuduh tidak faham. Apakah ini wajah sebuah bangsa yang 68 tahun merdeka?

Lebih memalukan, insiden ini berlaku berkali-kali. Dari kes Ng Pei Ven (Cindy Ng) yang memandu melawan arus hingga meragut nyawa, kepada Sam Ke Ting yang merempuh lapan remaja berbasikal yang bertunjangkan kepincangan yang sama. Pertuduhan demi pertuduhan tidak dapat dibacakan dalam bahasa kebangsaan kerana kelemahan memahami. Bukankah ini satu pengkhianatan terhadap roh kemerdekaan yang diperjuangkan dengan darah dan air mata?

Islam mengingatkan bahasa bukan sekadar lidah, tetapi amanah. Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat ihsan…” (al-Nahl: 90). 

Keadilan itu memerlukan bahasa yang difahami bersama. Tanpa bahasa kebangsaan, keadilan menjadi kabur dan hukum seakan-akan tergantung pada terjemahan.

Lebih membarah, diskriminasi pekerjaan kini menjadikan bahasa sebagai senjata perkauman. Iklan kerja yang menetapkan syarat ‘mesti fasih Mandarin’ menafikan hak majoriti  anak bangsa, seolah-olah bahasa kebangsaan tidak bernilai di tanah air sendiri. 

Pemimpin politik pula tanpa segan silu berucap dalam bahasa asing dalam acara rasmi, menampakkan betapa rendahnya mereka meletakkan bahasa kebangsaan. Tidakkah ini tamparan terhadap kemerdekaan yang kita raikan saban tahun?

Sarjana Islam seperti Ibn Khaldun menegaskan bahasa adalah cerminan tamadun. Tamadun yang mengabaikan  bahasanya sedang menggali liang kehancurannya.

Rasulullah  SAW juga menegakkan bahasa Arab sebagai bahasa wahyu dan  penyatuan, meskipun umat yang didakwah baginda pelbagai.  Maka mengapa kita, setelah 68 tahun merdeka, masih malu  dengan bahasa sendiri?

Lebih tragis, ingatan kita masih segar tentang arwah Syed Muhammad Danial Syed Shakir yang dipukul hingga mati oleh seorang lelaki berbangsa  Cina ketika umat Islam meraikan Aidiladha. Tragedi ini bukan sahaja meragut nyawa seorang insan tetapi juga merobek hati bangsa. 

Arwah meninggalkan seorang isteri dan anak kecil, namun yang lebih perit tertinggal ialah luka kolektif sebuah masyarakat yang mula meragui keadilan dan keharmonian.

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Binasalah kaum yang apabila orang bangsawan mencuri mereka biarkan, tetapi apabila orang lemah mencuri, mereka menghukum.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

Bukankah kita sedang melihat bayangan itu? Apabila bahasa kebangsaan diremehkan dan undang-undang kelihatan tempang, rakyat mula berasa terasing dalam tanah air sendiri. 

 

ROH KEMERDEKAAN

Kita tidak menolak bahasa ibunda mana-mana kaum. Tetapi bahasa kebangsaan tidak boleh terus dipijak di tanah sendiri. Bangsa Jepun, Jerman, Thailand, Indonesia tetap berdiri teguh dengan bahasa nasional mereka. Tetapi di Malaysia, bahasa kebangsaan masih dipertikai, dipinggirkan dan dipandang sebelah mata. Tidakkah ini satu tamparan terhadap jiwa bangsa?

Sepatutnya, roh kemerdekaan itu seharusnya berpaksikan kepada kebebasan daripada penjajahan jiwa. Tetapi apa maknanya jika selepas 68 tahun merdeka, kita masih dijajah oleh sikap segelintir kaum yang enggan menerima bahasa kebangsaan sebagai identiti bersama? Apa ertinya merdeka jika kita terus terikat dengan diskriminasi bahasa dan sikap mementingkan diri kaum tertentu?

Maka, di ambang kemerdekaan ke-68 ini, sudah tiba masanya kita lantang bersuara:

  • Bahasa Melayu mesti dimuliakan sebagai roh kemerdekaan, bukan sekadar perhiasan Perlembagaan.
  • Sistem pendidikan perlu dirombak agar generasi akan datang tidak asing dengan bahasa kebangsaan.
  • Diskriminasi pekerjaan berasaskan bahasa mesti dihentikan segera.
  • Pemimpin politik harus menjadi contoh, bukan pengkhianat dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

 

Ingatlah, kedaulatan bahasa Melayu bukan milik orang Melayu semata-mata. Ia adalah bahasa kebangsaan, milik semua warganegara. Menolak bahasa kebangsaan bererti menolak kemerdekaan itu sendiri. Dan negara yang menolak jiwanya pasti akan hancur, bukan kerana dijajah musuh luar, tetapi kerana dikhianati dari dalam.

Al-Fatihah buat Allahyarham Syed Danial dan semua yang menjadi korban ketidakadilan. Semoga kemerdekaan ke-68 ini mengingatkan kita bahasa bukan sekadar huruf, tetapi darah yang mengalir dalam urat bangsa.

Bahasa itu jiwa bangsa, keadilan itu jiwa negara. Jika kedua-duanya retak, maka merdekalah sekadar ilusi, sedang hakikatnya bangsa masih dijajah dalam rohnya.-UTUSAN

 

PROFESOR  Madya Dr. Zaizul Ab. Rahman ialah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin Dan Falsafah,  Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×