Zara Qairina : Keadilan terpaksa dituntut, bukan diberi

Zara Qairina : Keadilan terpaksa dituntut, bukan diberi

TEKANAN awam yang berterusan akhirnya membawa kepada langkah drastik pihak berkuasa untuk bertindak lebih tegas untuk mencari keadilan atas kematian Zara Qairina Mahathir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRAGEDIA menimpa Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, menggegarkan seluruh negara.

Pada awal pagi 16 Julai lalu, anak tunggal berusia 13 tahun ini ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga. Zara kemudian meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I. Insiden ini meninggalkan seribu satu tanda tanya tentang keselamatan pelajar dan ketelusan siasatan.

Rakyat menafsir ada yang mengambil mudah terhadap proses siasatan. Tidak pasti sama ada kerana kemalasan, mahu menjaga imej sekolah atau ada isu lain. Namun mengabaikan prosedur siasatan memberi kesan besar kepada kerajaan.

Semua yang terlibat seolah-olah tidak belajar dari isu-isu kematian kontroversi sebelum ini. Jika semua pemegang taruh baik pihak sekolah mahupun polis mengikut garis undang-undang maka kematian Zara Qairina mungkin sekadar angka dan statistik.

Namun kerana bertindak di luar garis peraturan dan undang, kematian ini segera mencetuskan reaksi besar dalam masyarakat. Orang ramai melahirkan rasa sangsi terhadap cara siasatan dijalankan, khususnya apabila keluarga mendakwa barang bukti seperti pakaian Zara Qairina tidak diambil untuk analisis forensik awal.

Persepsi dwi standard pula menular selepas muncul spekulasi tentang penglibatan anak orang kenamaan (VVIP), meskipun dinafikan pihak berkuasa. Semua ini menimbulkan syak dan dakwaan yang kemungkinan ada pihak cuba dilindungi, apatah lagi siasatan hanya digerakkan dengan lebih serius selepas kemarahan awam memuncak.

Dalam kalangan ibu bapa, kebimbangan terhadap keselamatan sekolah berasrama turut membuak. Bagaimana seorang pelajar boleh terjatuh dari tingkat tiga tanpa disedari?

Isu buli, pengawasan longgar dan kelemahan prosedur operasi standard (SOP) kembali menjadi perbualan. Kes Zara Qairina menghidupkan semula trauma masyarakat terhadap kes-kes lalu, termasuk insiden tragis Zulfarhan Osman Zulkarnain dan beberapa kematian pelajar lain di asrama.
Empati rakyat terhadap Zara Qairina begitu mendalam. Remaja ini dilihat sebagai simbol anak atau adik yang boleh menjadi mangsa.

LANGKAH DRASTIK

Gelombang ini cepat diterjemahkan dalam bentuk solidariti. Tanda pagar #JusticeForZara trending di media sosial, menjadi medan luahan marah, sedih dan kecewa. Lebih jauh, himpunan aman diadakan di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan beberapa bandar lain. Peserta berpakaian hitam sebagai tanda solidariti, menuntut siasatan telus serta reformasi keselamatan di sekolah berasrama.

Gerakan ini memperlihatkan bagaimana tragedi seorang remaja boleh mencetuskan trauma kolektif, sekali gus menekan kerajaan untuk bertindak lebih tegas.

Tekanan awam yang berterusan akhirnya membawa kepada langkah drastik pihak berkuasa. Ini yang rakyat mahukan. Pasukan Petugas Khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman digerakkan ke Sabah, terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota kanan, bagi mengambil alih penyiasatan. Pada masa sama, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) membuka siasatan dalaman terhadap pegawai penyiasat kes ini kerana didakwa gagal mematuhi prosedur asas, termasuk kelewatan memohon bedah siasat awal. Beberapa pegawai turut digantung tugas sementara menunggu hasil siasatan.

Kerajaan turut tampil dengan kenyataan tegas. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sesiapa pun akan dilindungi, malah beliau sendiri mengarahkan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar, untuk memantau siasatan secara langsung.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula memberi jaminan kementeriannya memandang serius kes ini, sambil menekankan keperluan menjaga maruah institusi polis dan keselamatan pelajar.

Langkah menggali semula kubur Zara Qairina untuk bedah siasat penuh atas arahan Jabatan Peguam Negara dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan ekoran siasatan awal tidak mencukupi dan perlu diperbetulkan.

KRISIS KEPERCAYAAN

Walaupun tindakan ini melegakan sebahagian masyarakat, namun keresahan tetap berbaki. Krisis kepercayaan terhadap maklumat rasmi jelas ketara apabila naratif liar berlegar di media sosial termasuk dakwaan palsu seperti kononnya Zara Qairina dimasukkan ke mesin basuh.

Penyebaran maklumat tidak sahih ini bukan sahaja mencalarkan fakta sebenar malah menambah tekanan psikologi kepada keluarga mangsa.

Akhirnya, tragedi Zara Qairina bukan sekadar kisah peribadi tetapi ujian kepada kerajaan dalam mengurus kepercayaan rakyat. Respons pantas selepas tekanan masyarakat membuktikan kerajaan peka terhadap suara awam.

Namun, harus diakui sikap reaktif ini sedikit sebanyak menjejaskan imej. Rakyat mahu kerajaan yang lebih proaktif, bukan hanya bertindak selepas gelombang kemarahan tercetus.

Pada masa hadapan, kerajaan harus lebih proaktif dan responsif, kerana hanya dengan cara itu keyakinan rakyat dapat dipulihkan dan tragedi seumpama ini tidak lagi berulang.-UTUSAN

 

DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah bekas Ahli Parlimen Sungai Besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×