JOHOR BAHRU: Kanak-kanak 10 tahun, Izzul Islam Azuan Isaidi yang mengalami kecederaan gegaran otak selepas didakwa menjadi mangsa buli dan dipukul, kini berdepan trauma serius sehingga sering mengalami mimpi buruk.
Ibu mangsa, Siti Suhana Misdi, 39, berkata, perubahan ketara sikap anaknya mula kelihatan sejak kejadian tersebut.
Katanya, anak keempat daripada enam beradik itu kerap menangis pada waktu malam selepas terjaga daripada tidur.
“Selepas kejadian, dia sering menyendiri dan kadang-kadang menangis bersendirian. Dia mengalami trauma teruk hingga tidur malam pun selalu mimpi perkara buruk. Bila saya tanya, dia cakap mimpi takut, jumpa hantu dan orang menakutkan,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Puteri di sini, semalam.
Siti Suhana berkata, Izzul Islam berasa takut untuk ke sekolah kerana bimbang kejadian buli berulang.
Katanya, dia akan berasa selamat jika dua rakannya hadir ke sekolah dan sekolah agama.
“Jika kedua-dua rakan itu tidak datang, dia akan berasa takut,” katanya.
Siti Suhana berkata, dia nekad membuat laporan polis demi menegakkan keadilan buat anaknya.
“Selepas kes buli ini menjadi viral dan mendapat perhatian media, saya bersyukur ramai yang memberi sokongan supaya saya terus berjuang untuk menegakkan keadilan dan memastikan kes buli di sekolah dihentikan,” katanya.
Sebagai seorang ibu, Siti Suhana bertekad memastikan anak-anaknya membesar dalam keadaan selamat dan sejahtera.
“Saya yang melahirkan dan membesarkan dia, saya tidak pernah lukakan atau pukul dia. Izzul tidak pernah menyusahkan saya walaupun kami hidup dalam keadaan susah,” katanya.
Izzul Islam yang merupakan pesakit kanser hidung dipercayai dipukul oleh murid berusia 10 dan 12 tahun di hadapan kelas di sebuah sekolah agama dan sekolah kebangsaan di Skudai pada 21 Februari dan 7 Ogos lalu.
Susulan kejadian, Siti Suhana membuat dua laporan polis pada 23 Februari di Balai Polis Skudai dan Balai Polis Larkin pada 15 Ogos lalu.
Dalam pada itu, tujuh individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Johor, Komisioner Ab. Rahaman Arsad berkata, keterangan percakapan itu melibatkan pegawai perubatan yang merawat mangsa, murid sekolah yang menjadi saksi kejadian serta ahli keluarga Izzul Islam. – UTUSAN










