Korban banjir di utara China meningkat 13 orang

Korban banjir di utara China meningkat 13 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sekurang-kurangnya tiga mangsa dilaporkan terkorban akibat hujan lebat di utara China hari ini, menjadikan jumlah kematian terkini mencecah 13 orang, manakala lima lagi masih hilang.

Media rasmi Xinhua melaporkan, tiga mayat ditemukan di kawasan banjir di bandar Ordos, Inner Mongolia.

Sementara itu, tiga individu dilaporkan hilang kira-kira 70 kilometer (km) dari lokasi tersebut, berhampiran tebing Sungai Kuning.

Sejak Julai lalu, hujan monsun Asia Timur yang tertumpu di utara dan selatan China membawa taburan hujan luar biasa lebat, menyebabkan beberapa wilayah berdepan banjir besar dan tanah runtuh.

Hujan lebat semalam menjadi yang pertama daripada tiga ramalan dalam beberapa hari akan datang, lapor televisyen tempatan.

Taburan hujan melebihi 204 milimeter dalam tempoh kurang 24 jam direkodkan di daerah tempat mayat ditemukan, lebih dua kali ganda purata bulanan bagi Ogos, menurut pihak berkuasa cuaca.

Pasukan penyelamat giat mencari tiga mangsa hilang di Ordos, di kawasan yang juga berhampiran salah satu hab nadir bumi China, iaitu bandar Baotou.

Hujan lebat dan banjir besar yang dikaitkan oleh pakar meteorologi dengan perubahan iklim menimbulkan cabaran besar kepada pihak berkuasa, berisiko menjejaskan pertahanan banjir yang semakin uzur, memindahkan jutaan penduduk serta menyebabkan kerugian ekonomi mencecah berbilion dolar.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×