SEREMBAN: Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dengan menikam seorang lelaki di Taman Seri Pagi, Senawang di sini pada 11 Ogos lalu.
Tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh, Zulazren Zakariah, 31, yang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mencapai niat dengan menikam dada dan menyebabkan kematian Muhammad
Amirul Rashid Mohd. Niza berusia 28 tahun.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 6.50 petang di sebuah rumah di Taman Sri Pagi, Senawang di sini pada 11 Ogos lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali sebatan.
Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 17 Oktober depan bagi laporan kimia, asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat serta tiada jaminan ditawarkan.
Sebelum ini media melaporkan, pada 11 Ogos lalu seorang lelaki maut ditikam dalam kejadian di rumah keluarganya di Taman Seri Pagi, Senawang di sini dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.
Pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 6.50 petang yang mana mangsa berusia 28 tahun telah ditikam oleh seorang suspek lelaki berusia 31 tahun.
Hasil siasatan polis mendapati
mangsa yang berstatus duda mengenali isteri suspek dan mereka dikatakan mempunyai hubungan sulit. – UTUSAN










