Premis jual barang perhiasan hidupan liar diserbu

Premis jual barang perhiasan hidupan liar diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barangan perhiasan yang dihasilkan daripada bahagian badan hidupan liar bernilai RM89,000 dirampas dalam serbuan di sebuah premis di pusat beli-belah di sini Sabtu lalu.

Serbuan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama Cawangan Risik Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, serbuan kira-kira pukul 3.30 petang turut menahan seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik premis. 

Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam premis menemukan bahagian-bahagian hidupan liar. 

“Lelaki berusia 64 tahun itu gagal mengemukakan dokumentasi, permit atau lesen berkaitan bahagian-bahagian hidupan liar tersebut. 

“Jabatan Perhilitan telah merampas seutas rantai, tiga unit hulu parang, dua unit perhiasan patung dan tiga unit ukiran disyaki mengandungi bahagian hidupan liar.

“Selain itu, satu taring, dua tanduk selain dua unit ‘carrier’ dihiasi bahagian hidupan liar turut dirampas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Beliau berkata, kesemua sitaan dianggarkan bernilai RM89,000. 

Menurutnya, lelaki terbabit telah dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Tegas beliau, pihaknya mengingatkan orang awam dan amaran keras kepada mana-mana individu yang terlibat dalam sebarang aktiviti melibatkan pemburuan haram, pemilikan, pemindahan atau pemerdagangan hidupan liar secara tidak sah adalah satu kesalahan serius.

“Sebarang aduan dan maklumat boleh salurkan kepada Perhilitan di talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” jelasnya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×