Ukraine tidak seharusnya dipaksa menyerah kalah

Ukraine tidak seharusnya dipaksa menyerah kalah

VOLODYMYR ZELENSKY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Sekumpulan ahli politik dan tokoh awam Ukraine mengecam cadangan menyerahkan wilayah Ukraine yang belum diduduki kepada Russia demi mencapai keamanan.

Mereka menegaskan Ukraine belum tewas dan tidak sepatutnya dipaksa menyerah kalah.

Suasana tegang memuncak selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa memberikan ‘layanan istimewa’ kepada Presiden Russia, Vladimir Putin semasa pertemuan di Alaska pada Jumaat minggu lalu.

Rakyat negara ini juga berang selepas Trump memberitahu pemimpin Eropah yang perjanjian damai boleh dicapai jika Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyerahkan kawasan Donbas kepada Russia.

Ahli Parlimen bebas Ukraine, Halyna Yanchenko, menyifatkan cadangan itu sebagai tidak munasabah.

“Cadangan Ukraine menyerahkan wilayah baharu tanpa sebarang perlawanan hanya kerana Putin mahukannya adalah sesuatu tidak masuk akal sejak awal,” katanya.

Yanchenko yang merupakan aktivis antirasuah dan bekas ahli parti Servant of the People, berkata, ratusan ribu rakyat Ukraine akan terjejas sekiranya cadangan tersebut diterima.

Data rasmi menunjukkan sekitar 255,000 orang tinggal di kawasan seluas 9,000 kilometer per segi di wilayah Donetsk itu, termasuk bandar perindustrian Kramatorsk dan Sloviansk yang gagal ditawan Russia sejak perang meletus.

“Apabila seseorang mencadangkan pertukaran wilayah, hakikatnya mereka sedang memperdagangkan manusia,” kata Yanchenko.

Sepanjang hujung minggu, media sosial Ukraine dibanjiri kartun dan meme menyindir layanan Trump terhadap Putin di Alaska dengan satu daripada imej menunjukkan askar AS melutut membetulkan permaidani merah untuk Putin, yang disifatkan oleh aktivis Serhii Sternenko sebagai memalukan.

Ahli Parlimen pembangkang dari parti European Solidarity, Oleksiy Goncharenko pula menegaskan Ukraine tidak patut dipaksa menyerah.

“Kami tidak layak untuk menyerah dan kami tidak berada dalam kedudukan untuk berbuat demikian. Bahagian Donetsk ini ibarat kubu. Putin telah gagal menawannya selama 11 tahun. Kini dia cuba mencapainya melalui tipu daya diplomatik.”

“Zelensky perlu menyampaikan tindak balasnya dengan berhati-hati. Trump perlu disedarkan ini adalah perangkap yang dirancang Putin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×