Kumpulan pejuang Palestin cadang pindah tebusan ke Gaza City halang serangan Israel - Utusan Malaysia

Kumpulan pejuang Palestin cadang pindah tebusan ke Gaza City halang serangan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kumpulan pejuang Palestin termasuk Hamas dan Jihad Islam Palestin dilaporkan sedang mempertimbangkan rancangan untuk memindahkan tebusan Israel ke dalam Gaza City sebagai langkah strategik bagi menghalang serangan dan pendudukan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Menurut laporan portal berita berpengkalan di London, Asharq al-Awsat, keputusan tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan. Laporan itu memetik sumber dalam kalangan kumpulan pejuang yang enggan dinamakan, yang menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah tindak balas kepada perancangan IDF yang semakin agresif terhadap Gaza.

“Tiada lagi pilihan melainkan mengambil langkah luar biasa bagi menunjukkan bahawa darah rakyat Palestin bukan satu-satunya yang akan ditumpahkan,” kata seorang sumber yang dipetik oleh media tersebut.

Cadangan pemindahan tebusan dilaporkan telah dibincangkan di peringkat tertinggi pimpinan kumpulan pejuang, melibatkan pemimpin dalam dan luar wilayah terkepung itu.

Matlamat utama langkah itu adalah untuk meningkatkan tekanan ke atas Israel dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, supaya tidak melaksanakan rancangan serangan darat secara besar-besaran dan pendudukan haram ke atas Gaza.

Pejuang Palestin turut memberi amaran keras kepada IDF, agar tidak mempertaruhkan nyawa kira-kira 20 tebusan Israel yang masih hidup dalam tahanan mereka.

“Harganya mesti mahal, bukan hanya nyawa askar Israel yang menyerbu Gaza, tetapi juga nyawa tebusan yang kini berada dalam tangan kami,” kata sumber tersebut.

Menurut sumber itu, dasar kumpulan pejuang adalah untuk mengekalkan tebusan dalam keadaan hidup bagi tujuan pertukaran tahanan dan membuka ruang kepada rundingan gencatan senjata.

Sumber tersebut turut mendakwa bahawa para penculik tebusan sanggup berkongsi atau mengorbankan bekalan makanan mereka sendiri demi memastikan kelangsungan hidup para tebusan – satu dakwaan yang bagaimanapun disangkal oleh pihak berkuasa Israel.

“Kami percaya tebusan ini bukan lebih berharga daripada rakyat kami sendiri. Dan kami tidak boleh terus membiarkan rakyat Palestin menanggung derita bersendirian, sedangkan kerajaan Israel terus melakukan jenayah dan pemusnahan sistematik terhadap kediaman dan masyarakat kami,” katanya.

Sumber pejuang juga menyatakan kepimpinan Israel, termasuk Netanyahu dan barisan menterinya tidak mempedulikan keselamatan nyawa tebusan mereka sendiri, namun dalam masa yang sama, rakyat Palestin tidak akan membiarkan diri mereka terus menjadi mangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×