PETALING JAYA: Pemain skuasy muda negara, Aira Azman mencipta hatrik selepas menewaskan kakaknya, Aifa dalam perlawanan akhir wanita Premier pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2025 di Jelutong, Pulau Pinang, hari ini.
Pemain berusia 21 tahun itu dipaksa beraksi sehingga ke set penentuan sebelum meraih kemenangan ke atas Aifa 8-11, 11-5, 9-11, 11-6, 11-8 dalam masa 31 minit.
Kejayaan itu merupakan gelaran ketiga berturut-turut menjadi milik Aira, selepas merangkul kejuaraan bagi edisi 2023 dan 2024.
Untuk edisi 2023, anak jati Kedah itu mengetepikan pemain Kuala Lumpur, Noor Ainaa Amani Ampandi dan bagi 2024 serta tahun ini, Aira menewaskan pencabar yang sama iaitu Aifa.
Aira ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir melahirkan rasa gembiranya berjaya mencipta hatrik pada kejohanan kebangsaan.
“Saya gembira dengan kemenangan ini, saya tewaskan kakak saya buat kali kedua pada kejohanan kebangsaan.
“Hari ini tidak mudah, Aifa berjaya berikan tentangan sengit dan dia juga menang set pertama tadi,” katanya.
Menurut pemain yang menghuni ranking ke-27 dunia itu, pada tahun ini sahaja, sudah lebih daripada sekali dia bertemu dengan kakaknya pada perlawanan akhir, termasuk dalam Jelajah Dunia iaitu pada Terbuka Bermuda.
“Kami saling mengenali corak permainan masing-masing dan apabila berada di dalam gelanggang terpulang kepada diri sendiri untuk mencari jalan bagi mendapatkan kemenangan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Aira berkata, dia akan menyertai Terbuka Mesir pada September ini dan dijangka berdepan laluan sukar seawal pusingan kedua apabila dijadual bertemu bintang No. 3 dunia, Hania El Hammamy.
Sementara itu, dalam perlawanan akhir Premier lelaki, Duncan Lee dari Sabah mengejutkan pilihan pertama, Sanjay Jeeva dari Kuala Lumpur 11-9, 11-8, 11-8 dalam masa 48 minit.
Kemenangan tersebut merupakan kejayaan sulung Duncan di peringkat kebangsaan selepas beraksi cemerlang dengan mengejutkn beberapa pemain pilihan termasuk C. Ameeshanraj pada separuh akhir, semalam.
“Ini kemenangan pertama saya di peringkat kebangsaan dan saya menewaskan kesemua pemain yang berada di dalam Program Podium.
“Sasaran saya selepas ini ialah untuk berada dalam kelompok 100 terbaik dunia dan melayakkan diri ke Sukan SEA,” katanya.
Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, pemain berusia 23 tahun itu berkata, dia akan menyertai Piala Tunku Muhriz di Seremban, Negeri Sembilan, hujung bulan ini.-UTUSAN










