Sakit dada petanda serangan jantung atau gastrik?

Sakit dada petanda serangan jantung atau gastrik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rasa sakit di tengah dada membuatkan Azmi, 50,tersentak daripada tidur. Perutnya terasa senak dan kesakitan itu menjalar ke belakang badan. Ia membuatkan lelaki berusia pertengahan 50-an itu mula panik kerana mengesyaki dirinya mengalami serangan jantung.

Dalam keadaan cemas itu, Azmi menggagahkan diri untuk bangun mencapai ubat gastrik dan menelannya. Sebelum ini, dia pernah mengalami sakit yang sama dan sakit itu beransur hilang selepas makan ubat berkenaan.

Seperti diduga, pengambilan ubat itu berjaya melegakan kesakitan dialaminya. Namun Azmi masih meragui jika dirinya sebenarnya mengalami serangan jantung. Serangan itu berlaku beberapa bulan sekali dan kali terakhir pada awal tahun lalu. Ini adalah serangan ketiga pernah dialaminya.

Pakar Kardiologi Hospital Canselor Tunku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd. Shawal Faizal Mohamad berkata, serangan jantung dan gastrik adalah dua keadaan kesihatan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan, bahkan mengancam nyawa jika tidak dikenali dan ditangani dengan betul.

“Walaupun keduanya membabitkan kesakitan di dada atau perut, simptom, penyebab dan rawatannya sangat berbeza. Oleh itu, adalah penting untuk kita mengenali perbezaan antara kedua-dua masalah ini supaya dapat bertindak dengan cepat.

“Perbezaan utama antara serangan jantung dan gastrik terletak pada simptom yang dialami pesakit. Serangan jantung sering kali menyebabkan sakit dada yang teruk, seperti ditekan atau dihimpit.

Kesakitan ini boleh merebak ke lengan kiri, rahang atau belakang badan,’’katanya.

Katanya lagi, simptom lain yang mungkin berlaku termasuk sesak nafas, berpeluh sejuk, mual dan pening. Sakit dada akibat serangan jantung biasanya lebih berterusan, melebihi 15 minit dan tidak hilang walaupun setelah berehat atau mengambil ubat gastrik.

Sebaliknya, gastrik lebih sering menimbulkan rasa pedih, panas atau kembung di bahagian atas perut. Kesakitan ini cenderung datang dan pergi. Sering kali pesakit akan lega selepas makan ubat anti asid.

Sakit perut akibat gastrik juga tidak menjalar ke bahagian lain dan biasanya berkait dengan waktu makan atau pengambilan makanan tertentu yang merangsang pengeluaran asid di perut.
Simptom yang perlu diperhatikan

Mengenal pasti gejala dengan tepat adalah penting untuk mendapatkan rawatan. Jika mengalami sakit dada yang kuat lebih dari 15 minit, disertai sesak nafas, peluh sejuk dan pening, ini adalah tanda-tanda lebih cenderung kepada serangan jantung dan memerlukan perhatian segera di hospital.

Sebaliknya, sakit perut atau dada berkaitan gastrik cenderung berkurangan selepas makan atau pengambilan ubat dan lebih bersifat sementara.

“Serangan jantung dan gastrik juga berbeza dari segi faktor risiko. Serangan jantung lebih banyak dikaitkan dengan faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi, merokok dan sejarah keluarga yang mempunyai masalah jantung. Sedangkan gastrik biasanya tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor ini.

“Diagnosis, serangan jantung memerlukan ujian seperti ECG (elektrokardiogram), ujian darah (troponin), echocardiogram dan angiografi manakala untuk gastrik, ujian seperti endoskopi, ujian H. pylori dan ultrasound mungkin dilakukan untuk memastikan diagnosis,” terangnya.

Kelebihan rawatan segera

Mendapatkan rawatan segera penting untuk mengurangkan kerosakan pada otot jantung, mengurangkan risiko komplikasi serius, meningkatkan peluang untuk pulih sepenuhnya dan berpotensi menyelamatkan nyawa.

“Rawatan awal juga dapat membantu menguruskan gejala dengan lebih berkesan dan mencegah serangan jantung berulang. Serangan jantung berlaku apabila bekalan darah ke jantung terputus, menyebabkan kerosakan pada otot jantung.

“Rawatan awal dengan ubat-ubatan atau prosedur seperti stent dapat membantu memulihkan aliran darah dan meminimumkan kerosakan. Rawatan awal juga dapat mencegah komplikasi serius seperti kegagalan jantung, aritmia (degupan jantung tidak teratur), dan kematian mendadak,” katanya.

Dalam kes serangan jantung yang teruk, rawatan awal boleh menjadi penentu antara hidup dan mati. Oleh itu, penting untuk mendapatkan rawatan perubatan segera jika mengalami gejala serangan jantung seperti sakit dada, sesak nafas atau ketidakselesaan di bahagian atas badan.

Bagi masalah gastrik yang tidak dirawat pula, boleh menyebabkan komplikasi seperti ulser perut, pendarahan dalam perut dan peningkatan risiko kanser perut. Rawatan awal dapat mencegah komplikasi ini daripada berlaku.

Gastrik juga perlu dirawat bagi mengawal keradangan pada lapisan perut dan mencegahnya daripada menjadi gastrik kronik. Gastrik kronik boleh menyebabkan masalah kesihatan lebih serius dan memerlukan rawatan jangka panjang.

Proses Rawatan dan Pencegahan

Rawatan untuk serangan jantung dan gastrik juga sangat berbeza, terutamanya dalam keadaan kecemasan. Rawatan serangan jantung termasuk penggunaan ubat cair darah, angioplasti dan rawatan intensif manakala untuk gastrik, rawatan biasanya membabitkan pengambilan antasid, ubat pengurang asid dan perubahan diet.

Pencegahan kedua-dua keadaan ini membabitkan gaya hidup sihat seperti berhenti merokok, mengawal tekanan darah dan kolesterol serta bersenam. Bagi penghidap gastrik, elakkan makanan pedas, berasid dan kopi berlebihan yang boleh merangsang asid dalam perut.

“Kesedaran awam mengenai perbezaan antara serangan jantung dan gastrik sangat penting. Kebanyakan kes serangan jantung berlaku kerana masyarakat sering menganggap sakit dada sebagai gastrik atau angin, menyebabkan mereka terlambat mendapatkan rawatan.

“Oleh itu, penting untuk tidak menangguhkan pemeriksaan di hospital jika mengalami sakit dada berterusan dan disertai dengan simptom lain seperti sesak nafas atau peluh dingin. Dalam situasi kecemasan, lebih baik bertindak awal daripada menyesal kemudian hari,” katanya.

Secara keseluruhannya, serangan jantung dan gastrik adalah dua masalah kesihatan yang mempunyai simptom serupa tetapi pengendaliannya berbeza.

Oleh itu, penting mengenali perbezaan antara keduanya dan mendapatkan rawatan segera apabila mengalami simptom yang mencurigakan.
Seperti yang disarankan oleh pakar, jika sakit dada berterusan disertai dengan peluh dingin atau sesak nafas, anggaplah ia sebagai serangan jantung dan pergi ke hospital segera.
Lebih baik bertindak awal.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×