“AWAK tidak layak melukis untuk Cromok, sebab perempuan.”
Itu antara komen negatif yang diterima pelukis, Nurhuda Abu Hassan Mazli, 44, ketika diamanahkan untuk membuat rekaan pada gitar anggota Cromok, Khairul Anuar Shariff atau Karl, pada Oktober tahun lalu.
Malah, ada yang secara sinis memintanya menolak projek itu dan melukis untuk kumpulan muzik wanita sahaja.
Biarpun dihujani dengan sindiran, namun semangatnya tidak sesekali luntur.
Nurhuda tetap meneruskan projek pertamanya melukis di atas peralatan muzik.
Baginya, inilah peluang untuk membuktikan yang seni tiada sempadan gender dan setiap karya baharu adalah langkah mengukir sejarah peribadi.
Katanya, projek melukis gitar itu mengangkat tema unik iaitu unicorn berwarna-warni yang merupakan simbol ikonik Cromok.
Ujarnya, teknik yang digunakan ialah melukis secara manual di atas permukaan putih gitar.
Ia cat akrilik tanpa semburan cat dan pelekat.
“Prosesnya agak mencabar dan memerlukan ketelitian tinggi kerana sebarang kesilapan besar boleh merosakkan keseluruhan gitar.
“Untuk memastikan hasil sempurna tanpa sebarang kerosakan, proses melukis hanya dibuat di studio sahaja,” katanya.

Lukisan gitar Cromok itu mengambil masa sebulan untuk disiapkan.
Paling mengejutkan Nurhuda apabila lukisan sentuhannya itu mendapat pujian bukan sahaja daripada Cromok malah orang ramai.
Lebih manis, gitar sama turut digunakan kumpulan itu dalam konsert di Zepp, Kuala Lumpur pada 7 Disember 2024.
Kejayaan projek pertamanya itu membolehkan beliau sekali lagi diberi kepercayaan oleh Cromok untuk melukis gitar.
Sebanyak tiga lagi gitar dihantar kepadanya bagi tujuan itu.
Ibu kepada dua anak ini berkata, gitar tersebut bukan sekadar instrumen muzik, tetapi sebuah karya seni yang membawa cerita tersendiri.
Beliau turut menghasilkan versi lukisan kanvas dengan rekaan sama bersempena dengan tajuk lagu Cromok, sebagai simbol ikatan antara karya gitar dan medium tersebut.
Tidak rancang jadi pelukis arang
Walaupun mempunyai asas melukis hasil pembelajaran seni bina landskap, namun Nurhuda tidak pernah menanam impian untuk menjadi seorang pelukis.
Apatah lagi untuk menggunakan arang sebagai identiti terbarunya.
Segalanya berlaku tanpa sengaja apabila kerap membantu anaknya menyiapkan lukisan sekolah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021.
Beliau kemudian mendapati yang seni itu menarik lantas berkongsi karyanya di platform Facebook.
Bertitik-tolak daripada situ, wanita ini mula menyertai kumpulan seni di media sosial.
“Pada awalnya, saya hanya melukis potret hitam putih menggunakan pensel dan graphite.
“Apabila ada permintaan melukis potret menggunakan arang, saya memberanikan diri untuk mencuba meskipun tidak mengenali jenis arang mahupun teknik penggunaannya,” katanya.
Berbekalkan semangat ingin belajar, Nurhuda membuat kajian sendiri, memerhati teknik pelukis antarabangsa dan mencuba tanpa ragu.
Tempahan pertamanya ialah potret arang bersaiz besar sekali gus menyuntik keyakinan untuk terus menguasai teknik lukisan itu,
Sejak itu, arang menjadi medium pilihannya kerana mampu memberi kelainan berbanding karya pelukis lain yang kebanyakannya berwarna.
Baginya, identiti seorang pelukis terletak pada keunikan karya.
Empat tahun berlalu, teknik lukisan arang kekal diteruskan sebagai kerjaya sepenuh masa.

Anak-anak pengkritik utama
Menurut Nurhuda, kedua-dua anaknya merupakan pengkritik utama bagi setiap karya yang dihasilkan
Setiap kali beliau menyiapkan “Walaupun bukan pelukis, tetapi perspektif remaja yang mereka bawa sering membuka sudut pandang baharu.
“Malah, mereka juga berani meneka harga karya tersebut, walaupun kadang kala jumlah yang disebut jauh daripada realiti sebenar,” katanya.
Walaupun antara mereka sering berdebat, namun, situasi itu melatihnnya untuk lebih bersedia menghadapi kritikan di luar.
Ada masanya beliau terpaksa melawan balik bagi mempertahankan gaya dan identitinya sebagai pelukis.
Baginya seni adalah cerminan jiwa, bukan semata-mata untuk memenuhi cita rasa orang lain.
Justeru, penting untuk seseorang pelukis menyakini kecantikan karya mereka sebelum mengharapkan pengiktirafan orang lain.
Bahkan, katanya, kritikan daripada anak-anak bukan sahaja menjadi panduan untuk memperbaiki teknik, tetapi sebagai benteng emosi yang mempersiapkannya untuk dunia luar yang lebih mencabar.
Idea spontan
Mengulas mengenai ilham lukisan, katanya, ia lazimnya datang secara spontan.
Beliau kemudian akan segera membayangkan jalan cerita di sebalik karya yang bakal dihasilkan.
Namun, katanya, sebuah lukisan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai gambaran visual semata-mata.
Sebaliknya, mahu penonton merasai emosi yang terpancar daripada setiap lukisan, seolah-olah melihat cermin kepada pengalaman diri.
Pengalaman bertemu penonton yang mengaitkan karyanya dengan kisah peribadi, termasuk individu yang pernah melalui fasa kemurungan, menguatkan lagi tekadnya untuk menghasilkan lukisan yang mampu membangkitkan reaksi emosi.
“Saya percaya setiap karya ada kisah tersendiri dan penonton bebas untuk merasai serta mentafsirkannya mengikut pengalaman hidup mereka.
“Itulah sebabnya, saya lebih gemar melukis tanpa memaksa penonton menerima naratif asal, sebaliknya memberi ruang untuk mereka menemui makna yang paling dekat di hati,” akhiriya.









