Petronas bebas nilai semula aset huluannya - Anwar

Petronas bebas nilai semula aset huluannya – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penilaian semula aset huluan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di­serahkan sepenuhnya kepada pertimbangan komersial syarikat minyak nasional itu tanpa campur tangan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Petronas perlu mengutamakan perancangan jangka panjang bagi menghadapi ketidaktentuan pa­saran global serta pengurusan portfolio aset menjadi faktor penting dalam memastikan kelangsungan operasi dan keuntungan syarikat.

Antara langkah strategik, jelasnya, termasuk menjual aset yang telah mencapai tahap maksimum pengeluaran untuk dilaburkan semula ke dalam projek baharu.

“Kita lihat contoh seperti di Brazil yang memiliki tujuh blok sektor huluan, tiga blok pembangunan dan empat blok pe­nerokaan. Penilaian semula aset perlu dilakukan berterusan.

“Keputusan menjual aset di Sudan Selatan pula dibuat atas faktor keselamatan susulan konflik berterusan antara Sudan dan Sudan Selatan. Ba­gaimanapun, operasi yang bermula sejak 1993 dan 1994 itu telah memberi keuntungan besar kepada Petronas,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai penjualan aset di Kanada dan Brazil.

Anwar berkata, operasi di Kanada dilihat strategik berikutan rizab gas asli yang besar iaitu sekitar 50 trilion kaki padu (TCF), yang kini telah mula dieksport bersama beberapa sya­rikat gergasi antarabangsa.

Jelasnya, kerjasama global meluas antara Petronas termasuk TotalEnergies (Perancis) dan ENI (Itali) dalam projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS) di rantau ini.

“Suriname dalam portfolio deepwater melalui kontrak perkongsian pengeluaran (PSC). Indonesia bersama Pertamina untuk PSC Serpang dan Binaiya.

“Turkmenistan melalui blok 1 PSC dengan XRG dan syarikat lain. Vietnam dan Abu Dhabi, termasuk kejayaan mempero­leh onshore Block 2 (ON2) di Abu Dhabi (juga) suatu pencapaian membanggakan kerana negara Teluk jarang memberi peluang kepada syarikat bukan barat,” katanya.

Anwar berkata, Petronas turut mengorak langkah dalam projek CCUS serta menyokong peralihan tenaga, termasuk projek ASEAN Power Grid yang menghubungkan Vietnam-Kelantan-Singapura.

Selain itu, katanya, perbincangan awal bersama Kerajaan Sarawak, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Petronas juga sedang dijalankan bagi membangunkan kabel bawah laut dari Sarawak ke Johor.

Mengenai cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Anwar ber­kata, cadangan itu akan di­bentangkan kepada Jemaah Menteri pada akhir bulan ini dan langkah itu adalah sebahagian daripada agenda reformasi undang-undang yang dilaksa­nakan Kerajaan Madani dalam tempoh dua tahun setengah ini.

“Pemisahan ini memang dituntut sejak sekian lama. Kemajuan ini amat menggalakkan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Da­tuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai senarai undang-undang lapuk yang akan dipinda atau dimansuhkan.

Setakat ini kerajaan telah me­laksanakan 23 reformasi un­dang-undang, termasuk dua pindaan Perlembagaan ber­kai­tan kewarganegaraan serta pe­nggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.

Antara pembaharuan dilaksanakan ialah pindaan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fis­kal 2023, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan Rang Undang-Undang (RU­U) Ombudsman 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×