PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM38.92 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025, meningkat tiga peratus berbanding RM37.90 bilion dalam tempoh yang sama 2024.
Jumlah pendapatan pelaburan ini termasuk keuntungan mark-to-market sekuriti sebanyak RM0.44 bilion yang belum direalisasikan, terutamanya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing.
Selaras dengan polisi KWSP, keuntungan ini tidak akan diagihkan sebagai dividen.
Sementara itu, jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua 2025 adalah sebanyak RM20.61 bilion, meningkat 22 peratus berbanding RM16.91 bilion pada suku yang sama tahun
lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pendekatan pelaburan jangka panjang KWSP yang pelbagai terus menghasilkan prestasi berdaya tahan, dengan peningkatan pendapatan bagi separuh tahun pertama berikutan pemulihan pasaran yang stabil, prestasi domestik yang kukuh dan pengurusan portfolio yang berdisiplin.
Katanya, peningkatan dalam caruman dan pendapatan ini menyumbang kepada kenaikan lima peratus bagi jumlah aset pelaburan.
“Penekanan kami terhadap aset berkualiti tinggi, terutamanya dalam sektor domestik utama, pengagihan aset yang berdisiplin dan strategi penyepaduan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) membolehkan kami mengambil peluang, di samping mengurus risiko dalam persekitaran global yang tidak menentu.
“Walaupun prestasi suku kedua menunjukkan peningkatan, KWSP kekal peka terhadap risiko penurunan berikutan perdagangan global yang perlahan, dasar perdagangan yang tidak menentu, peningkatan tekanan inflasi dan perubahan geopolitik.
“Strategi kami dilaksanakan melalui langkah proaktif yang berwaspada serta pengurusan berhemah, dengan memberi tumpuan kepada daya tahan jangka panjang bagi melindungi simpanan persaraan ahli daripada cabaran luaran ini,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang suku yang dikaji, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan dengan mencatat RM13.77 bilion, meningkat 35 peratus, berbanding RM10.23 bilion
pada suku kedua 2024.
KWSP berkata, pemulihan kukuh dalam pasaran ekuiti global memberi peluang kepada pengurus dana KWSP untuk menjana keuntungan dan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.
“Ekuiti menyumbang 67 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ini. Instrumen Pendapatan Tetap terus memainkan peranan dalam pemeliharaan modal, menjana RM6.73 bilion atau 33 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ini.
“Kelas aset ini, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf terus memberikan pulangan yang stabil dan membantu mengurangkan kesan turun naik dalam
pasaran ekuiti.
“Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM0.29 bilion pada suku kedua 2025. Selaras dengan pendekatan pelaburan jangka panjang KWSP bagi kelas aset ini, pergerakan mata wang mempunyai kesan minimum terhadap pulangan sebenar dalam tempoh masa tertentu,” ujarnya.
Tambahnya, kesan serupa turut dialami Instrumen Pasaran Wang, yang sebahagian besarnya didenominasikan dalam mata wang selain ringgit, turut terjejas daripada pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua dan menyebabkan kerugian sebanyak RM0.18 bilion selepas pertukaran mata wang. – UTUSAN










