KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) bangkit di penghujung babak permainan untuk mengutip satu mata berharga selepas terikat 2-2 menentang PDRM FC dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Sultan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini malam ini.
Pelawat bermula garang apabila terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-12 menerusi jaringan Doumbia Henri yang pantas menyambar hantaran lintang Mohd. Safiee Ahmad.
Tujuh minit kemudian, skuad kendalian Eddy Gapil hampir menambah jaringan namun rembatan Amir Saiful Badeli ditepis penjaga gol TFC, Suhaimi Husin sebelum cubaan susulan Mohd. Safiee pula melambung tinggi.
Skuad Penyu berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-23 namun sentuhan Akhyar Rashid tidak cukup kemas manakala rembatan Nurillo Tukhtasinov dari luar kotak penalti seminit kemudian gagal menemukan sasaran.
Bersambung babak kedua, bantuan video pengadil (VAR) memberi kelebihan buat skuad The Cops selepas percubaan Henri pada minit ke-53 mudah memperdaya Suhaimi.
Sebelum itu, jaringan kedua berkenaan dibatalkan pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin selepas mendakwa penyerang kelahiran Ivory Coast tersebut berada dalam kedudukan ofsaid.
Asakan berganda skuad Penyu akhirnya membuahkan hasil selepas hantaran Yan Mabella disudahkan Azam Azmi Murad pada minit ke-62 untuk jaringan pertama tuan rumah.
TFC hampir menyamakan kedudukan jaringan pada minit ke-80 menerusi rembatan deras Careca namun usaha penyerang import itu dipatahkan pemain lawan yang menyelamatkan bola di atas garisan gol.
Anak buah Badrul Afzan Razali akhirnya memperoleh jaringan penyamaan sembilan minit kemudian selepas Mabella menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata. – UTUSAN











