Kerja pukul orang dapat gaji RM80,000

Kerja pukul orang dapat gaji RM80,000

MUNIANDY ditemui di Pusat Pemulihan Ghullam, di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sanggup menggertak dan memukul penghutang demi meraih pendapatan sehingga RM80,000 sebulan antara tugas yang dilakukan Muniandy (bukan nama sebenar), 40, ketika bekerja dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen sejak 2013.

Katanya, kerja itu dianggap berbaloi berban­ding menjadi pemandu lori dengan gaji kurang RM1,000 sebulan. Tawaran sindiket diterima selepas memikirkan masa depan dan desakan hidup.

“Saya tanya pada diri, sampai bila hendak jadi pemandu lori. Jadi, saya terima tawaran Ahlong. Kerja saya mengutip hutang, termasuk memukul jika diarahkan. Tetapi tidak boleh sampai menyebabkan kecederaan serius atau kematian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anak jati Rawang itu mengakui memukul adalah antara skop kerjanya dan pernah menetak badan seorang penghutang hingga mangsa dimasukkan ke hospital.

“Pernah juga bertumbuk sampai kepala penghutang cedera teruk. Namun saya berhati-hati, tak pernah sampai membunuh,” katanya.

Kegiatan itu menyebabkan dia keluar masuk penjara sebanyak 13 kali. Kes terbaharu berlaku Februari lalu apabila dia bergaduh dengan seorang individu, sebelum dijatuhi hukuman penjara setahun bermula Mac mengikut Seksyen 357 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Muniandy dibebaskan secara berlesen dua minggu lalu oleh Jabatan Penjara Malaysia kerana berkelakuan baik.

Kini, dia menyertai program i-Kembali di bawah Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) sambil bekerja di sebuah syarikat kurier, bertekad meninggalkan dunia gelap dan memulakan kehidupan baharu yang lebih bermakna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini