SEREMBAN: Semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya menghormati struktur dan kepimpinan parti sebelum membuat sebarang cadangan terutama berkaitan berdepan pilihan raya akan datang.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan, masih terlalu awal untuk pemimpin parti membuat sebarang keputusan sama ada PH patut bertanding bersendirian atau tidak pada pilihan raya umum akan datang.
“Masa masih panjang. Sekarang bukan masa untuk berpolitik, tetapi masa untuk bekerja dan menyelesaikan isu rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan baru-baru ini yang mencadangkan PH perlu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) secara berasingan daripada gabungan Kerajaan Perpaduan.
Pengarah Biro Pilihan Raya Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Umar Mokhtar Abdullah dilaporkan berkata, cadangan itu adalah susulan senario di Melaka dan Johor di mana terdapat cadangan pertandingan tiga penjuru berlaku.
Aminuddin yang juga Menteri Besar turut menegaskan, sebarang keputusan strategik seperti bertanding secara bersendirian perlu dibawa melalui saluran dalaman terlebih dahulu khususnya dengan Presiden parti.
“Presiden ialah pemimpin utama, beliau harus dihormati. Sebarang pengumuman seperti ini mesti diperhalusi terlebih dahulu dan dibincang secara tertutup,” katanya.
Menurutnya lagi, tindakan membuat pengumuman awal tanpa perbincangan boleh menimbulkan kekeliruan serta mencalarkan imej Presiden dan parti secara keseluruhan.
“Kita perlu elak tindakan yang boleh jejaskan perpaduan. Pemuda Amanah, contohnya, juga ada Presiden mereka sendiri, mereka tidak wajar diketepikan,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan parti tidak boleh diukur berdasarkan kenyataan politik semata-mata, sebaliknya melalui kerja berterusan untuk memperkukuh keahlian dan sokongan akar umbi.
“Rakyat mahukan kerajaan stabil dan berwibawa, bukan perbalahan dalaman. Kita masih ada banyak isu perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun ini,” katanya. – UTUSAN










