PETALING JAYA: Peguam kepada keluarga Zara Qairina Mahathir tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan bedah siasat pelajar itu bagi mengelakkan sebarang percanggahan antara laporan lisan dan laporan rasmi bedah siasat yang akan dikeluarkan kelak.
Dalam kenyataan bersama, Shahlan Jufri dan Mohd. Luqman Syazwan Zabidi berkata, tindakan itu dibuat demi menjaga ketepatan maklumat dan menghormati proses rasmi yang sedang dijalankan.
Bagaimanapun, mereka mengesahkan terdapat kecederaan pada tubuh Zara Qairina semasa bedah siasat dijalankan.
Mereka turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengarahkan polis membuat permohonan menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan semula terhadap jenazah, kelmarin.
“Selain itu, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang mengawal rapi proses penggalian dan bedah siasat tersebut,” kata mereka.
Kenyataan itu turut menyebut penghargaan kepada semua pihak, termasuk pengamal media yang hadir sejak pagi hingga malam di tanah perkuburan dan kawasan sekitar Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, Sabah bagi menyaksikan proses penggalian kubur, pengkebumian jenazah dan bedah siasat.
“Sokongan anda semua amat kami hargai,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, proses bedah siasat ke atas Zara Qairina selesai dijalankan selepas kira-kira lapan jam di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1.
Proses bedah siasat yang bermula pukul 11 pagi dan berakhir 8 malam itu turut disaksikan oleh peguam keluarga atas permintaan mereka.
Zara Qairina, seorang pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada pukul 4 pagi, 16 Julai lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital keesokan harinya. – UTUSAN










