SEOUL: Kekuatan anggota tentera Korea Selatan kini berkurangan kepada sekitar 450,000 orang, penurunan sebanyak 20 peratus dalam tempoh enam tahun, menurut laporan Kementerian Pertahanan yang didedahkan oleh Ahli Parlimen parti pemerintah semalam.
Pihak berkuasa menyatakan kadar kelahiran yang terlalu rendah, iaitu hanya 0.75 bayi bagi setiap wanita menjadi punca utama penyusutan tersebut sekaligus merupakan kadar kelahiran terendah di dunia.
Korea Selatan masih mengekalkan perkhidmatan ketenteraan wajib kerana secara teknikalnya negara itu masih berperang dengan jirannya, Korea Utara, yang memiliki senjata nuklear.
Kajian yang diterbitkan penyelidik Korea Selatan pada Julai lalu mencadangkan sekurang-kurangnya 500,000 anggota diperlukan untuk mempertahankan negara daripada ancaman Korea Utara, yang dianggarkan mempunyai 1.3 juta anggota aktif.
Perbezaan kekuatan ini meletakkan Korea Selatan dalam kedudukan pertahanan yang secara struktur sukar untuk berjaya, kata laporan itu, sambil menegaskan perlunya tindakan tegas di peringkat nasional bagi mengekalkan kekuatan minimum tersebut.
Sejak 2006, jumlah divisyen tentera Korea Selatan menurun daripada 59 kepada 42, berikutan pembubaran atau penggabungan unit-unit tertentu.
Sebagai reaksi kepada ketegangan geopolitik serantau, Korea Selatan meningkatkan perbelanjaan pertahanannya, dengan bajet pertahanan tahun ini mencecah lebih 60 trilion won (RM 131 bilion) jumlah yang lebih besar daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Korea Utara.
Semua lelaki sihat tubuh badan di Korea Selatan diwajibkan berkhidmat selama 18 bulan, dengan pengecualian jarang diberikan serta penangguhan tertentu dibenarkan namun, perkhidmatan ketenteraan sering tidak popular dalam kalangan lelaki muda kerana dianggap mengganggu kerjaya, selain isu ini turut dikaitkan dengan perbahasan mengenai kesaksamaan gender.
Korea Selatan terus memecah rekod kadar kelahiran terendah dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini iaitu sebanyak 0.98 bayi bagi setiap wanita pada 2018, 0.84 pada 2020, 0.72 pada 2023 dan 0.75 pada 2024.
Pakar memberi amaran, jika trend ini berterusan, populasi negara yang kini mencecah 50 juta boleh merosot separuh dalam tempoh 60 tahun. -AGENSI










