KOTA KINABALU: Tiada unsur ‘tangan ghaib’ dalam proses bedah siasat Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dijalankan hari ini seperti yang menjadi spekulasi di media sosial.
Peguam keluarga, Shahlan Jufri berkata, proses bedah siasat yang dilaksanakan di Hospital Queen Elizabeth di sini telah selesai lebih kurang 7.30 petang tadi selepas dimulakan sekitar pukul 11.30 pagi tadi.
Beliau berkata, proses bedah siasat telah berjalan dengan lancar dan telus dan tiada kejanggalan ditemui semasa proses tersebut.
“Tiada unsur-unsur ‘tangan ghaib’ seperti yang dikatakan di sosial media. Saya sendiri menyaksikan bagaimana arwah diperiksa, termasuklah organ-organ dalaman.
“Jangan percaya semua spekulasi di media sosial,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya dapatan hasil proses bedah siasat itu, katanya, apa-apa maklumat mengenainya tidak boleh didedahkannya.
“Maklumat itu sulit dan siasatan masih berjalan. Kita kena tunggu laporan dan juga daripada mahkamah,” kata beliau.
Menurut Shahlan lagi, laporan bedah siasat biasanya mengambil masa tiga minggu hingga dua bulan untuk disiapkan.
Bagi kes ini, beliau berkata kemungkinan akan mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan perbincangan di antara beberapa pakar perubatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa laporan tersebut bukanlah dokumen awam tetapi sulit, dan mereka harus ke mahkamah untuk mendapatkan laporan tersebut.
Katanya, langkah seterusnya selepas ini adalah untuk berbincang dengan keluarga dan para peguam.
“Ada kemungkinan besar kami akan meminta inkues selepas siasatan selesai,” katanya.
Jenazah Allahyarham Zara Qairina telah dibawa keluar dari hospital oleh trak polis kira-kira pukul 9.24 malam tadi.
Difahamkan jenazah akan dihantar ke tanah perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol di Sipitang pada malam ini untuk dikebumikan semula.-UTUSAN.











