Op Mega Pusat Hiburan: 288 individu ditahan polis

Op Mega Pusat Hiburan: 288 individu ditahan polis

KESEMUA individu yang ditahan akan disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Akta Hiburan, Akta Eksais, Akta Kastam 1976 dan Akta Imigresen 1959.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 288 individu dalam serbuan dijalankan terhadap 22 premis hiburan di sekitar Lembah Klang, malam tadi. 

Operasi Mega Pusat Hiburan yang dijalankan pada pukul 10.30 malam itu melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman bersama D7 JSJ Kontinjen Selangor, D7 JSJ Kontinjen Kuala Lumpur, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, serbuan dijalankan terhadap 22 premis hiburan dan restoran yang telah diubahsuai menjadi pub dan bilik karaoke televisyen (KTV) dipercayai dikendalikan warga asing.

Katanya, ia membabitkan 16 premis di Selangor dan enam di Kuala Lumpur. 

“Kesemua premis tersebut dipercayai beroperasi tanpa lesen sah dan menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah.

“Seramai 288 individu ditahan membabitkan empat penjaga premis, penjaga kaunter (21), pekerja (26), 66 wanita warga Myanmar yang berperanan sebagai pelayan pelanggan (GRO) serta 170 pelanggan warga asing pelbagai negara dan seorang yang berperanan sebagai ‘jaga air’. 

“Kesemua tangkapan berusia antara 18 hingga 51 tahun terdiri daripada warga Myanmar, Nepal dan Bangladesh,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Katanya, turut dirampas dalam operasi ialah wang tunai, pelbagai peralatan hiburan, minuman keras pelbagai jenama serta beberapa dokumen.

“Kesemua individu yang ditahan akan disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Akta Hiburan, Akta Eksais, Akta Kastam 1976 dan Akta Imigresen 1959.

“PDRM khasnya JSJ Bukit Aman memandang serius operasi pusat hiburan haram yang dikendalikan warga asing kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan ketenteraman awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×