BUKIT MERTAJAM: Seni persembahan boria dan ghazal parti telah lama menjadi identiti budaya Pulau Pinang, malah suatu ketika dahulu ia menjadi pengisian utama dalam pelbagai majlis keraian, kenduri dan majlis ilmu.
Boleh dikatakan, hampir setiap majlis keraian, kenduri hatta majlis-majlis ilmu sekalipun, tidak akan meminggirkan seni-seni persembahan ini sebagai sebahagian daripada aturcara program mereka suatu ketika dahulu.
Populariti kedua-duanya pernah berada di kemuncak apabila Pulau Pinang memiliki lebih 80 kumpulan boria aktif yang sering membuat persembahan dari rumah ke rumah.
Namun, seiring peredaran zaman, minat terhadap seni tradisi ini semakin pudar, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Penggiat seni tempatan, Omar Md. Hashim atau Omara, 71, berkata, ketika ini hanya tinggal lima atau enam kumpulan boria dewasa yang masih aktif memperjuangkan seni warisan tersebut.
Katanya, berbanding boria, situasi ghazal parti pula lebih membimbangkan kerana hanya dua kumpulan dewasa yang terus mengadakan persembahan, terutamanya di kawasan Seberang Perai.
“Sebenarnya, boria dan ghazal parti ini masih hidup dan bernyawa di Pulau Pinang, masalahnya ialah, seni warisan ini seperti tidak ada kesinambungan.
“Sebagai contoh, generasi muda memang ada didedahkan tentang boria sejak di bangku sekolah rendah. Namun, apa yang berlaku ialah, apabila mereka melangkah ke sekolah menengah, seni ini seperti mulai hilang dalam diri mereka.
“Kami terpaksa melatih bakat baharu dan keadaan itu boleh dikatakan berterusan hampir setiap tahun,” katanya.
Mengabdikan dirinya untuk boria dan ghazal parti sejak hampir setengah abad yang lalu, Omar pernah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) serta beberapa anugerah lain disebabkan pembabitannya dalam bidang seni warisan itu.
Dibantu adiknya, Yusof Md. Hashim atau Pak Kojek, 59, seorang kartunis, kedua-dua figura seni ini gigih memperjuangkan seni berkenaan meskipun kini menghampiri usia senja.
Omar yang mempunyai kumpulan boria sendiri yang dikenali sebagai Boria Omara, berkata, antara cabaran dalam mempertahankan seni warisan itu ialah berkaitan kenaikan kos yang perlu ditanggung untuk mengadakan setiap persembahan.
“Zaman dulu, kita tak berkira sangat pasal duit. Asalkan semua seronok sahaja. Sekarang, kena kira semua. Untuk boria sebagai contoh, kos upah pemuzik pun sudah mahal dan kebanyakan penganjur juga tak sanggup untuk bayar lebih.
“Untuk menjimatkan kos, kami terpaksa menggunakan minus-one (muzik tanpa vokal) ketika membuat persembahan walaupun ini mungkin mengurangkan sedikit kualiti persembahan.
“Masalah pengangkutan juga kadang-kadang menjadi isu apabila lokasi hendak dituju jauh. Jika peserta ramai, kami terpaksa menyewa van ke lokasi persembahan, dengan kebiasaannya, setiap persembahan melibatkan 10 hingga 20 peserta,” katanya.
Omar yang juga penulis lirik dan blog berkata, seni persembahan ghazal parti juga berdepan masalah hampir sama, malah lebih ‘kritikal’ kerana tidak punyai ramai pewaris daripada generasi muda yang boleh diketengahkan.
“Ghazal parti ini umpama sebuah persembahan muzikal. Ada pemuzik, sketsa, tukang karang dan ‘kelasi’. Ceritanya juga rata-rata berunsurkan nasihat yang boleh dijadikan pedoman.
“Masalah utama untuk mengekalkan kumpulan ghazal parti ialah kesukaran mendapatkan pemain gambus yang baik. Sebabnya, ramai anak muda pandai bermain gitar, tidak berminat bermain gambus kerana perlu tahu bahasa Arab.
“Sebab itu, kami cuba pelbagaikan rentak muzik dalam satu-satu persembahan ketika ini. Ada unsur Arab, Melayu, Hindustan dan sebagainya untuk menarik minat generasi muda,” katanya.
Menghidupkan seni persembahan boria dan ghazal parti pada masa depan, Omar berkata, beliau sedia turun padang memberi penerangan percuma kepada mana-mana sekolah berminat.
Buat masa ini, khidmat tersebut hanya ditawarkan kepada sekolah-sekolah di seluruh Pulau Pinang, dek kekangan masa dan kewangan.
“Ada segelintir anak muda berminat mendalami seni ini, tetapi, tidak tahu di mana tempat yang betul untuk belajar.
“Sebagai contoh, kami pernah mendapat sambutan hangat semasa membuat persembahan ghazal parti di Universiti Sains Malaysia (USM) suatu ketika dahulu.
“Rata-rata gembira dan ada yang datang menemui kami menyatakan keterujaan kerana tidak pernah melihat persembahan sehebat itu.
“Ini menunjukkan, seni warisan ini masih relevan dan mendapat tempat di hati generasi muda,” katanya yang berharap dapat menubuhkan sebuah galeri khas untuk boria dan ghazal parti di Pulau Pinang pada masa depan. – UTUSAN










