PADANG BESAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas 2,400 karton rokok elektronik bernilai kira-kira RM916,000 dalam dua serbuan berasingan, di sini, semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 10 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Kompeni A Batalion 2 PGA Kulim menahan sebuah van jenis Foton View C2 ketika sekatan jalan raya di KM27 Padang Besar, di sini, selepas disyaki membawa membawa rokok elektronik tanpa sebarang dokumen sah.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, pemeriksaan lanjut ke atas van itu telah membawa kepada penemuan lapan kotak rokok elektronik yang dipercayai cuba dihantar ke sebuah premis di sekitar Taman Kim, Padang Besar.
“Berdasarkan maklumat susulan itu, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di kawasan terbabit dan menahan seorang lelaki yang mengaku sebagai penyewa premis berkenaan. Pemeriksaan lanjut di dalam premis itu membawa kepada penemuan 28 kotak rokok elektronik tanpa dokumen sah,” katanya di sini hari ini.
Shahrum berkata, susulan itu, pihaknya turut merampas semua kotak berkenaan yang didalamnya mengandungi 2,400 karton rokok elektronik.
Katanya, nilai keseluruhan semua rampasan termasuk van milik suspek adalah dianggarkan bernilai RM916,000.
“Kedua-dua suspek lelaki berusia antara 25 hingga 55 tahun turut ditahan bersama semua barang rampasan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrum berkata, hasil soal siasat mendapati suspek pemandu van hanya menghantar barangan itu ke alamat yang telah diterimanya, di mana dia dimaklumkan kotak berkenaan merupakan produk kosmetik yang dikirim oleh individu lain dari Kuala Lumpur.
Tambahnya, penyewa rumah itu pula mendakwa rokok elektronik berkenaan diperolehi dari pembekal di Kuala Lumpur dan untuk dijual kepada pengguna setempat.
“Semakan juga mendapati penjualan rokok elektronik ini dipercayai baharu dijalankan sekitar tiga bulan. Siasatan lanjut juga masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam aktiviti rokok elektronik tanpa dokumen sah di kawasan sekitar Padang Besar,” katanya. – UTUSAN










